Presiden Parti Wawasan Negara (PWN), Datuk Seri Hamzah Zainudin bercakap kepada media ketika hadir pada Ceramah Mega Birukan Seremban sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 di Dewan Perdana KRS, Seremban. Foto MOHD ADZLAN, 29 JULAI 2026.

SEREMBAN – Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin mempersoalkan tindakan kerajaan mendedahkan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan Tabung Haji semalam, iaitu selepas tiga tahun ia disiapkan.

Beliau berpendapat, keputusan itu mungkin mempunyai hubung kait dengan politik.

“RCI ini sudah disimpan selama tiga tahun. Saya fikir mesti ada sesuatu sebab kenapa ia disimpan begitu lama dan hanya keluar sekarang.

“Ia menunjukkan mungkin ada sesuatu yang dirancang atas sebab politik, bukan semata-mata berkaitan RCI itu sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Ceramah Mega Biru-kan Seremban, malam tadi.

Hamzah berkata, pihaknya akan meneliti kandungan laporan berkenaan dengan serius sebelum mengambil pendirian rasmi berhubung isu tersebut.

Dalam pada itu, beliau menegaskan sekiranya terdapat individu yang melakukan kesalahan dalam pengurusan Tabung Haji, tindakan perlu diambil terhadap pihak terbabit dan tidak seharusnya dikaitkan secara keseluruhan dengan mana-mana parti politik.

“Kalau ada sesiapa yang membuat keputusan yang salah dalam perkara itu, kita perlu bawa perkara tersebut.

“Tetapi jangan gambarkan seolah-olah keseluruhan parti atau organisasi yang menjadi punca masalah,” katanya.

Hamzah turut memberi contoh isu lain yang melibatkan kelemahan pengurusan dengan berkata kesalahan individu tidak boleh terus dikaitkan dengan keseluruhan pihak.

Katanya, perkara berkaitan tadbir urus perlu dilihat secara adil berdasarkan fakta dan bukti, bukannya dijadikan bahan untuk kepentingan politik.

Sebelum ini, Kabinet dilaporkan bersetuju mendedahkan laporan RCI berkaitan Lembaga Tabung Haji kepada umum.

Kerajaan turut memutuskan supaya siasatan oleh pihak berkuasa disambung serta-merta dan mana-mana individu yang didapati melanggar undang-undang akan dihadapkan ke mahkamah.

Minggu lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melahirkan keyakinan kabinet akan bersetuju dengan cadangan mendedahkan laporan RCI berkenaan kepada umum apabila dibawa untuk pertimbangan mereka.

Anwar berkata dia tidak mempunyai sebarang halangan untuk mendedahkan laporan berkenaan, namun keputusan tersebut perlu dibuat mengikut prosedur melalui pertimbangan kabinet. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast