JELEBU – “Papa tetap Papa,” kata Danni Rais.
Di saat bapanya, Pengerusi Parti Wawasan Negara (Wawasan), Tan Sri Rais Yatim berdepan penarikan balik darjah kebesaran, Danni memilih untuk mengetepikan kesedihan akibat perkara itu demi meneruskan amanah kepada rakyat.
Calon Perikatan Nasional (PN) Dewan Undangan Negeri (DUN) N.04 Klawang mewakili Wawasan itu berkata, apa sahaja yang berlaku tidak akan mengubah kedudukan ayahnya sebagai insan paling banyak membentuk kehidupannya.
“Ayahanda masih ayahanda, saya kenal beliau sebagai Papa. Apa-apa gelaran yang telah diberi atau ditarik balik, itu adalah gelaran yang diberikan oleh manusia.
“Walaupun ia melibatkan pihak diraja dan sebagainya, bagi saya, Papa tetap Papa. Saya tetap menghormati beliau sebagai seorang ayah yang telah membimbing saya selama 39 tahun saya hidup di dunia ini,” katanya ketika diminta mengulas perkara itu di sini hari ini.
Menurut Danni, tidak dapat dinafikan sebagai seorang anak, sudah tentu berita tersebut mengundang rasa duka namun perjuangan tetap diteruskan.
“Saya doakan yang terbaik, mestilah kita ada rasa sedih apabila kita lihat berita ini dan pasti pelbagai pihak yang akan mempermainkan isu ini tapi saya telah maklumkan kepada rakan-rakan kita, jentera kita, kita harus fokus,” tegasnya.
Namun di sebalik ujian yang menimpa keluarganya, Danni tidak akan membiarkan emosi mengganggu perjuangan pada saat-saat akhir kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
Beliau juga memilih untuk tidak mengulas lanjut mengenai keputusan tersebut atau isu yang berkaitan Institusi Diraja Negeri Sembilan.
“Saya lebih baik tidak menyentuh isu tuanku atau perkara berkaitan adat. Itu bukan ruang untuk saya memberikan komen. Bukan tempat untuk kita sekarang ini untuk kita buat komen.
“Kita sudah berada di garisan penamat. Kempen hanya berbaki sedikit sahaja lagi dan fokus kami sekarang hanyalah sehingga hari pengundian pada 1 Ogos ini,” katanya.
Danni berkata, beliau turut mengingatkan seluruh jentera PN supaya tidak hanyut dengan polemik yang boleh mengalih perhatian daripada keutamaan sebenar iaitu memperjuangkan nasib rakyat.
“Saya sudah berpesan kepada rakan-rakan dan jentera supaya kita terus fokus. Sama ada gelaran itu ditarik atau tidak, masa depan rakyat Negeri Sembilan tetap akan ditentukan pada hari Sabtu. Itu yang lebih penting, kita nak fokus itu.
“Mungkin ada pihak yang mahu mengalihkan fokus kempen kepada isu ini tetapi kami tidak mahu. Kami akan terus turun padang, bertemu rakyat dan meneruskan perjuangan sehingga habis,” katanya.
Walaupun berdepan ujian yang menyentuh keluarganya sendiri, Danni memilih untuk mengetepikan kisah peribadi dan meneruskan kempen dengan harapan dapat meraih mandat rakyat.
Terdahulu Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, menitahkan penarikan balik kurniaan Darjah Seri Utama Negeri Sembilan (SPNS) dan Darjah Dato’ Setia Negeri Sembilan (DSNS) kepada Mantan Speaker Dewan Negara, Rais Yatim berkuat kuasa serta-merta.
Menerusi satu kenyataan hari ini, Pendaftar Darjah Negeri Sembilan, Datuk Mohd Zafir Ibrahim berkata, keputusan itu dibuat bagi memelihara kebesaran, kemuliaan dan kehormatan Institusi Diraja Negeri Sembilan.
Kedua-dua darjah kebesaran yang dikurniakan kepada Rais iaitu Darjah Seri Utama Negeri Sembilan (2001) dan Darjah Dato’ Setia Negeri Sembilan (1979) ditarik balik selaras titah tuanku. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
















