Gambar hiasan.

JOHOR BAHRU – Polis hari ini mengesahkan bayi perempuan yang ditemukan mati dalam mangkuk tandas di sebuah rumah di Taman Setia Mutiara, Kluang semalam berpunca daripada kesan beberapa kali tikaman pada bahagian dada.

Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, ia berdasarkan laporan bedah siasat yang dijalankan di Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom (HEBHK).

“Pakar patologi forensik HEBHK mengesahkan melalui bedah siasat bayi perempuan berkenaan maut akibat kesan tikaman berganda pada bahagian dada.

“Pihak polis turut merampas sebilah pisau berukuran 24 sentimeter (cm) panjang dan pakaian yang mempunyai kesan darah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ab Rahaman memberitahu, sebelum itu, pihaknya menerima satu maklumat daripada orang awam pada pukul 1.59 petang mengenai penemuan mayat seorang bayi dalam mangkuk tandas sebuah rumah teres dua tingkat tersebut yang dijadikan asrama pelajar sebuah kolej.

Jelasnya, kejadian itu terbongkar apabila pelajar perempuan yang juga ibu kandung mangsa dibawa ke HEBHK oleh guru yang bertugas kerana dipercayai tidak sihat.

“Semasa pemeriksaan kesihatan dijalankan, pelajar ini didapati baru sahaja melahirkan seorang bayi dan terdapat seorang lagi bayi di dalam kandungannya. Pelajar perempuan itu kini dirawat di hospital setelah selamat melahirkan seorang lagi bayi perempuan,” katanya.

Ab Rahaman berkata, siasatan lanjut mendedahkan kedua-dua bayi yang dilahirkan merupakan hasil hubungan seks pelajar perempuan tersebut dengan teman lelakinya sejak beberapa bulan lalu.

Bertindak atas maklumat, teman lelaki suspek yang jugak berusia 19 tahun ditahan pukul 10.30 malam tadi di sekitar kawasan Kluang bagi membantu siasatan.

Semakan rekod jenayah lampau ke atas suspek mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan ujian saringan awal air kencing ke atas suspek berkeputusan negatif dadah, katanya.

“Berdasarkan hasil soal siasat, suspek mengaku memberikan wang RM450 kepada teman wanitanya untuk menggugurkan kandungan,” katanya.

Suspek lelaki itu kini ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini sehingga Rabu depan bagi membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan Seksyen 315 Kanun Keseksaan kerana perbuatan dilakukan dengan niat hendak mengelakkan anak daripada dilahirkan hidup.

“Orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi atau kenyataan yang tidak benar sehingga mengganggu proses siasatan yang sedang dijalankan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast