KUALA PILAH – Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta rakyat menilai prestasi kerajaan berdasarkan fakta dan rekod pentadbiran sambil menegaskan pelbagai inisiatif termasuk subsidi bahan api, bantuan tunai diberi kepada golongan memerlukan.
Malah kenaikan gaji penjawat awam setelah sekian lama membuktikan komitmen kerajaan dalam menangani tekanan kos sara hidup.
Beliau yang juga Perdana Menteri berkata, kerajaan tidak pernah menolak teguran dan kritikan malah sentiasa bersedia memperbaiki kelemahan serta membetulkan segala kekurangan dalam pentadbiran.
Namun, katanya, adalah tidak adil apabila segala usaha yang telah dilaksanakan dinafikan sehingga timbul dakwaan kononnya kerajaan tidak melakukan apa-apa untuk membantu rakyat.
“Tegurlah saya, nasihatilah saya. Kalau ada kelemahan, kita baiki. Kalau ada kecuaian, kita betulkan.
“Tetapi jangan hina saya seolah-olah kerajaan langsung tidak buat apa-apa untuk rakyat,” katanya ketika berucap pada Program Kuala Pilah Berselawat dan Munajat Perdana Negeri Sembilan di Dataran Melang di sini malam tadi.

Dalam ucapan sama, Anwar turut mempertahankan rekod pentadbiran Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun dengan menyifatkan beliau sebagai pemimpin yang mempunyai rekod bersih dan berintegriti.
Menurut beliau, sepanjang menerajui pentadbiran negeri, Aminuddin tidak pernah dikaitkan dengan isu penyelewengan atau salah guna kuasa yang boleh menjejaskan kepercayaan rakyat.
“Saya datang bantu Datuk Seri Aminuddin Harun sebab saya tahu rekod beliau. Tidak ada cerita balak hilang, kontrak hilang atau ambil duit bawa ke luar negara,” ujarnya.
Anwar turut menjelaskan, kerajaan terpaksa menanggung beban kewangan yang besar bagi memastikan rakyat terus menikmati harga bahan api lebih rendah walaupun harga minyak dunia kekal tidak menentu susulan konflik geopolitik termasuk perang di rantau Teluk.
Katanya, Malaysia masih menjual bahan api pada harga lebih rendah berbanding beberapa negara pengeluar minyak, hasil subsidi yang ditanggung kerajaan menerusi peruntukan antara RM40 bilion hingga RM45 bilion setahun.
“Orang kata harga minyak di Malaysia mahal tetapi cuba lihat negara pengeluar minyak lain. Ada yang menjual lebih mahal daripada kita.
“Kita pilih untuk tanggung subsidi supaya rakyat tidak terbeban ketika kos barang import dan kos sara hidup masih tinggi,” tegasnya.
Beliau berkata, kerajaan juga terus memperkukuh jaringan keselamatan sosial menerusi pelbagai bantuan termasuk Sumbangan Tunai Rahmah (STR), Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dan inisiatif bantuan lain yang kini melibatkan peruntukan kira-kira RM16 bilion setahun.
Menurutnya, segala bantuan itu disalurkan mengikut kemampuan kewangan negara bagi memastikan golongan berpendapatan rendah dan sederhana terus mendapat pembelaan.
Pada masa sama, Anwar berkata, kerajaan turut melaksanakan kenaikan gaji penjawat awam yang disifatkannya sebagai kenaikan terbesar dalam sejarah selepas lebih 12 tahun tiada semakan menyeluruh dilakukan.
Katanya, keputusan itu melibatkan tambahan perbelanjaan sekitar RM18 bilion namun tetap diteruskan sebagai penghargaan kepada lebih 1.6 juta penjawat awam yang telah lama menunggu pelarasan gaji.
Beliau berkata, kerajaan sedar masih banyak perkara yang perlu diperbaiki namun perubahan tidak dapat dilakukan dalam tempoh singkat, apatah lagi ketika negara berdepan cabaran ekonomi global yang memberi kesan kepada harga barangan dan kos import.
“Sebab itu saya minta rakyat terus beri teguran yang membina. Kalau ada kelemahan, kita baiki. Yang penting jangan nafikan usaha yang telah kita lakukan untuk membantu rakyat,” katanya.
Anwar turut menegaskan, usaha memartabatkan orang Melayu dan Islam tidak boleh sekadar menjadi slogan politik sebaliknya perlu diterjemahkan melalui pentadbiran yang bersih, amanah serta dasar yang benar-benar memberi manfaat kepada rakyat.
Beliau berkata, kerajaan akan terus berusaha memperkukuh ekonomi negara, menjaga kebajikan rakyat dan memperbaiki setiap kelemahan demi memastikan kesejahteraan semua lapisan masyarakat terus terpelihara. – MalaysiaGazette
















