KUALA LUMPUR – Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad menzahirkan kebimbangan terhadap kejadian kemalangan maut yang terus berulang dari edisi pertama hingga ke penganjuran RXZ Members 8.0 baru-baru ini.
Dalam hantaran di Facebook, Dzulkefly berkata, kemalangan jalan raya merupakan cabaran kesihatan awam yang serius apabila menjadi antara penyumbang utama kepada kematian pramatang di Malaysia.
Tambahnya, setiap kali tiba hujung minggu yang menghimpunkan peminat permotoran, hospital di seluruh negara sering berdepan dengan kes kemalangan jalan raya yang membawa kepada kehilangan nyawa dan kesan mendalam terhadap keluarga mangsa.
Berdasarkan Nilai Kehidupan Statistik (VSOL), Kerajaan Malaysia menanggung kerugian sekurang-kurangnya RM3.12 juta bagi setiap satu nyawa yang terkorban, tambah beliau.
“Ini bukan sekadar angka; ia mewakili ketua keluarga, anak muda yang menjadi harapan, serta modal insan produktif yang hilang sekelip mata. Berapa ramai isteri muda yang tiba-tiba terpaksa bergelar balu? Berapa ramai anak kecil yang kini membesar sebagai yatim?,” hujah beliau.
Data Indeks Kematian Jalan Raya Malaysia oleh Kementerian Pengangkutan Malaysia pula menunjukkan secara purata kira-kira 18 individu maut akibat kemalangan jalan raya setiap hari, dengan penunggang motosikal menyumbang 59 peratus daripada jumlah kematian.
Mengulas lanjut, Dzulkefly berkata, beliau menyokong semangat silaturahim yang dibawa oleh komuniti permotoran, namun siri kemalangan maut daripada penganjuran ini perlu diberi perhatian serius.
Beliau menegaskan pihak penganjur mempunyai tanggungjawab moral untuk memastikan aspek keselamatan menjadi keutamaan setiap peserta.
“Saranan saya, pastikan pesanan pemanduan berhemah dan advokasi keselamatan jalan raya dijadikan agenda wajib dalam setiap penganjuran agar insiden nyawa melayang sia-sia akibat kelajuan tidak lagi berulang,” katanya.
Dalam pada itu, Dzulkefly menjelaskan peningkatan mendadak kes kemalangan dalam tempoh tertentu turut memberi tekanan kepada sistem kesihatan negara apabila sumber hospital seperti bekalan darah, peralatan pengimejan, dewan bedah serta tenaga pakar perlu digerakkan segera.
“Inilah realiti sistem kesihatan kita : 1% tenaga kerja KKM menggalas tanggungjawab menguruskan 99% populasi rakyat Malaysia,” ujarnya.
Bagaimanapun, kata beliau, fasiliti dan sumber perubatan boleh diganti, namun nyawa yang hilang tidak mampu dikembalikan.
Sehubungan itu, beliau menyeru pengguna jalan raya supaya mengubah budaya tunggangan ekstrem kepada amalan lebih berhemah dengan mengutamakan keselamatan.
“Ayuh budayakan slogan baharu yang lebih membawa mesej kesederhanaan dan keselamatan: “Yang Santai, Pasti Sampai”.
Slogan ini amat penting bagi menekankan aspek tunggangan berhemah, mematuhi had laju, dan menyasarkan kemalangan sifar.
Jadikan keselamatan nyawa sebagai keutamaan mutlak sebelum memulas pendikit jentera anda. Ingatlah wajah insan tersayang yang sentiasa mendoakan kepulangan anda di rumah, katanya. – MalaysiaGazette
















