Sultan Mizan Zainal Abidin mencemar duli melihat pameran manuskrip al-Quran emas kesultanan Terengganu yang dikaji oleh Dr. Riswadi Azmi.

 

 

KUALA NERUS, 4 Ogos – Pensyarah Jabatan Kenegaraan dan Ketamadunan, Pusat Pendidikan Asas dan Lanjutan (PPAL), Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Profesor Madya Dr. Riswadi Azmi dipilih sebagai antara tiga penyelidik dari seluruh dunia yang dilantik sebagai Penyelidik Tamu di King Abdulaziz Foundation for
Research and Archives (DARAH), Riyadh, Arab Saudi.

Lebih membanggakan, beliau menjadi penyelidik pertama dari Asia Tenggara yang dipilih menyertai program Penyelidik Tamu yang julung kali diperkenalkan oleh institusi penyelidikan diraja Arab Saudi itu. Bagi kohort sulung program berkenaan, hanya tiga penyelidik dipilih, masing-masing dari Malaysia, Jerman dan Australia.

Pelantikan tersebut merupakan pengiktirafan terhadap kepakarannya dalam bidang manuskrip Alam Melayu, khususnya penyelidikan berkaitan manuskrip al-Quran Diraja Terengganu, sekali gus mengangkat keupayaan penyelidikan Malaysia dalam bidang manuskrip al-Quran dan warisan tamadun Islam ke peringkat antarabangsa.

Sepanjang tempoh pelantikan, beliau akan menjalankan penyelidikan yang memfokuskan analisis perbandingan manuskrip al-Quran dalam koleksi DARAH dengan tradisi penyalinan manuskrip al-Quran di Asia Tenggara, meliputi aspek seni iluminasi, khat, pembahagian ayat dan juzuk serta ciri-ciri kodikologi manuskrip.

Menurut Dr. Riswadi, penyelidikan itu memfokuskan perkembangan tradisi penyalinan al-Quran ddalam konteks sejarah Islam, di samping membuka ruang kepada jaringan kerjasama akademik yang lebih kukuh antara Malaysia dan Arab Saudi dalam bidang
manuskrip Islam serta warisan budaya.

“Hasil penyelidikan ini diharap dapat diterbitkan dalam jurnal antarabangsa, dibentangkan pada persidangan ilmiah, selain dimanfaatkan untuk memperkukuh pengajaran, penyelidikan dan usaha pemeliharaan warisan manuskrip Islam di Malaysia,” katanya.

Sementara itu, Profesor Dr. Suriyani Muhamad, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) yang menjalankan fungsi Naib Canselor UMT berkata, pelantikan berkenaan membuktikan pengiktirafan masyarakat akademik antarabangsa terhadap kecemerlangan penyelidikan warga universiti.

“Pengiktirafan ini bukan sahaja memperkukuh reputasi UMT sebagai universiti yang aktif memacu penyelidikan berimpak tinggi, malah membuka peluang memperluas kerjasama strategik dengan institusi penyelidikan bertaraf dunia, khususnya dalam bidang warisan Islam, manuskrip Melayu dan tamadun Islam,” katanya.

DARAH merupakan institusi penyelidikan, arkib dan dokumentasi sejarah milik Kerajaan Arab Saudi yang berperanan memelihara serta membangunkan khazanah sejarah, manuskrip dan warisan kebangsaan. Institusi itu menjadi antara pusat rujukan utama dunia bagi penyelidikan sejarah, manuskrip dan tamadun Islam. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast