BANGI – Pembinaan Takungan Air Pinggir Sungai (TAPS) berjaya mengatasi kekurangan bekalan air minuman di Lembah Klang sejak lebih 10 tahun lalu, sekali gus membuktikan pengurusan lebihan air hujan mampu memberi manfaat jangka panjang kepada negara.
Profesor Adjung Malaysia-Japan International Institute of Technology (MJIIT), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Emeritus Datuk Seri Dr. Zaini Ujang berkata, antara projek terkini ialah pembinaan TAPS di Rasau, dalam lembangan Sungai Klang, bagi membekalkan air mentah.
“Selepas kita membina TAPS kira-kira 10 tahun lalu, masalah gangguan bekalan air minuman di Lembah Klang dapat dikurangkan dengan ketara, termasuk ketika musim kering.
“Sejak lebih 10 tahun lalu, beberapa projek pembinaan TAPS turut diperluaskan ke kawasan lain, termasuk di Melaka,” katanya ketika Simposium Bah Monsun 2026 di Bangi Resort Hotel, di sini, hari ini.
Beliau berkata, lebihan air ketika hujan lebat tidak seharusnya hanya dilihat dari sudut mitigasi banjir, sebaliknya perlu dimanfaatkan sebagai sumber bekalan air.
Menurutnya, selain memperluaskan pembinaan TAPS, Malaysia juga perlu membangunkan sistem terusan air seperti yang dilaksanakan di beberapa negara lain.
“Sungai-sungai yang telah dinaik taraf boleh dimanfaatkan dengan lebih berkesan sekiranya disokong sistem pam yang cekap bagi menyalurkan air dari kawasan yang mempunyai lebihan bekalan ke kawasan yang mengalami kekurangan air.
“Perkara ini telah mula dibincangkan dalam kalangan penyelidik, ahli akademik, perancang serta agensi kerajaan berkaitan. Kerangka pemikiran perlu berubah supaya kita dapat memanfaatkan lebihan air,” katanya.
Terdahulu, Zaini berkata Simposium Bah Monsun 2026 dianjurkan bagi menghimpunkan pengalaman dan pengetahuan berkaitan pengurusan banjir supaya penyelidikan yang dijalankan tidak menghasilkan dapatan yang berulang.
Katanya, kejadian banjir besar yang semakin kerap berlaku menunjukkan sudah tiba masanya semua pihak berkepentingan berganding bahu mencari kaedah terbaik untuk memanfaatkan lebihan air hujan.
“Jangan merintih sebab Allah telah turunkan hujan yang banyak, kira-kira 2,500 milimeter setahun, lebih tinggi berbanding banyak negara lain. Jadi kita bincangkan bagaimana hendak memanfaatkannya,” katanya.-MalaysiaGazette
















