KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi hari ini memerintahkan sebahagian kandungan pernyataan saksi milik Tony Pua, dipadam pada perbicaraan kes saman AS$5.6 billion 1Malaysia Development Berhad (1MDB) terhadap tujuh pihak termasuk Datuk Seri Najib Razak.
Pesuruhjaya Kehakiman Mohamad Redzuan Idrus membenarkan permohonan peguam Tan Sri Dr. Muhammad Shafee Abdullah untuk membuang sebahagian perenggan dalam pernyataan itu kerana ia disediakan berdasarkan dengar cakap dan pandangan bekas ahli politik tersebut.
Antara perenggan itu termasuk pendapat yang dilontarkan berdasarkan pendedahan laporan media yang antaranya menyentuh pengurusan 1MDB.
Tony yang pernah menganggotai Jawatan Kuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), dipanggil sebagai saksi kedua plaintif (1MDB) pada perbicaraan yang berlangsung di Mahkamah Tinggi hari ini.

Ketika membacakan pernyataan saksinya, beliau berkata, pada 4 Mac 2015, Najib yang ketika itu Perdana Menteri mengarahkan Ketua Audit Negara menjalankan pemeriksaan bebas terhadap akaun 1MDB, susulan perhatian rakyat terhadap pengurusan syarikat itu.
Menurut Tony, Najib turut menyatakan Laporan Ketua Audit Negara itu akan diserahkan kepada PAC untuk diteliti.
“Semasa sidang Parlimen selepas artikel Sarawak Report diterbitkan, Ahli-Ahli Parlimen termasuk saya sendiri telah mengemukakan pelbagai persoalan mengenai transaksi 1MDB yang disebut dalam laporan itu dan mendesak Najib yang juga Menteri Kewangan menjawab sama ada perkara yang dinyatakan dalam artikel itu benar.
“Ahli-ahli Parlimen turut mempersoalkan kebebasan audit tersebut memandangkan 1MDB dimiliki sepenuhnya oleh Kementerian Kewangan (MoF), serta Najib merupakan menterinya dan Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB. Walau bagaimanapun, tiada jawapan diberikan terhadap persoalan-persoalan yang dikemukakan itu,” ujarnya.
Tony yang merupakan bekas Ahli Parlimen Damansara selanjutnya berkata, pada Februari 2015, PAC telah menghantar surat kepada Jabatan Audit Negara (NAD) meminta agensi itu menjalankan audit terhadap 1MDB.
Audit itu menumpukan kepada beberapa aspek, termasuk sumber dana sebanyak RM2 bilion yang diperoleh 1MDB bagi melunaskan pinjamannya daripada beberapa buah bank, perjanjian pelaburan 1MDB dalam PetroSaudi, serta sama ada wang pelaburan 1MDB di Kepulauan Cayman telah dibawa pulang ke Malaysia.
Katanya, NAD kemudian memulakan pengauditan terhadap 1MDB bermula 10 Mac 2015 manakala PAC memulakan prosiding terhadap syarikat itu pada 19 Mei tahun sama.
Ujar Tony, sekitar Jun 2015, ahli-ahli PAC telah bertemu dengan juruaudit 1MDB dan satu persetujuan telah dicapai bahawa dokumen daripada juruaudit akan diserahkan kepada PAC melalui MoF.
“Sehingga awal bulan Julai 2015, PAC masih belum menerima sebarang dokumen daripada 1MDB atau MoF,” ujarnya.
Kata beliau, PAC bagaimanapun telah menerima laporan interim Ketua Audit Negara, walaupun laporan tersebut tidak didedahkan kepada umum.
Tony memberitahu, oleh kerana terdapat kekurangan kerjasama yang ketara daripada 1MDB, Ketua Audit Negara menjalankan pengauditan dengan hanya meneliti penyata kewangan 1MDB yang telah diaudit berserta dokumen sokongan yang disediakan oleh juruaudit berkenaan.
Ujarnya, 1MDB gagal mengemukakan banyak dokumen penting manakala skop pengauditan Ketua Audit Negara juga dihadkan secara ketat kepada 1MDB dan tiada siasatan atau pertanyaan dibenarkan mengenai akaun Najib.
Kata saksi, susulan laporan interim Ketua Audit Negara, Menteri Kewangan II ketika itu, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah menggesa pihak yang mengkritik 1MDB supaya berhenti membuat tuduhan tidak berasas memandangkan laporan dalaman Ketua Audit Negara mengenai pengauditan 1MDB itu mendapati `tiada bukti salah laku’.
Perbicaraan bersambung Isnin depan.
Syarikat pelaburan strategik negara itu dan empat yang lain menyaman Najib dan enam pihak bagi menuntut ganti rugi terhadap penyelewengan yang dilakukan mereka sehingga menyebabkan 1MDB mengalami kerugian berbilion ringgit.
Plaintif mengemukakan lapan kausa tindakan terhadap Najib iaitu penipuan, kecuaian, pelanggaran kewajipan fidusiari, pecah amanah, konspirasi, tort salah laku dalam jawatan awam, pengayaan tidak adil, dan penerimaan amanah konstruktif.
Pada 26 Disember 2025, Mahkamah Tinggi mendapati Najib bersalah atas empat pertuduhan salah guna kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram dan dijatuhi hukuman penjara 15 tahun dan denda RM11.38 bilion.
Pada 7 Mei 2021, writ saman terbabit pada asalnya difailkan oleh 1MDB dan empat anak syarikat kepada 15 defendan termasuk Najib.
Empat anak syarikat itu ialah 1MDB Energy Holdings Limited, 1MDB Energy Limited, 1MDB Energy (Langat) Limited dan Global Diversified Investment Company Limited, atau lebih dikenali sebagai 1MDB Global Investments Limited.
Turut dinamakan sebagai defendan ialah bekas Pengarah 1MDB, Tan Sri Che Lodin Wok Kamaruddin, Tan Sri Ismee Ismail, Tan Sri Ong Gim Huat, Jasmine Loo Ai Swan dan Ashvin Jethanand Valiram.
Defendan lain, bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi dan Mohd Hazem Abdul Rahman, bekas Ketua Pegawai Kewangan (CFO) Azmi Tahir dan Radhi Mohamad serta bekas pegawai 1MDB, Terence Geh Choh Heng, Casey Tang Keng Chee, Vincent Beng Huat Koh, Kelvin Tan Kay Jin dan Nik Faisal Ariff Kamil.
Bagaimanapun pada 16 Ogos 2021, 1MDB dan empat anak syarikatnya menggugurkan tujuh daripada 15 defendan. Mereka ialah Che Lodin, Ismee, Gim Huat, Ashvin Jethanand, Shahrol Azral, Mohd Hazem dan Azmi manakala Jasmine Loo juga tidak tersenarai sebagai defendan – MalaysiaGazette
















