Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob selamat menjalani prosedur pemasangan perentak jantung tanpa wayar di Institut Jantung Negara (IJN) petang tadi.

IJN dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, Ismail Sabri kini dinasihatkan supaya berehat selepas prosedur berkenaan.

“IJN mengesahkan Ismail Sabri berjaya menjalani prosedur pemasangan perentak jantung tanpa wayar (leadless pacemaker) bagi merawat masalah rentak jantung tidak normal,” katanya.

Tambah IJN, susulan itu juga, lawatan hanya dihadkan kepada ahli keluarga terdekat Ismail Sabri bagi menyokong proses pemulihan serta bagi menjaga privasi beliau.

Tambahnya, pihak media dan orang ramai juga dimohon supaya menghormati privasi Ahli Parlimen Bera itu serta keluarga beliau sepanjang tempoh berkenaan.

“Sebarang perkembangan lanjut sekiranya berkenaan akan disalurkan melalui saluran rasmi yang dibenarkan,” katanya.

Awal hari ini, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur menangguhkan prosiding pembacaan pertuduhan terhadap Ismail Sabri ke 27 Ogos ini selepas mengambil kira keadaan kesihatannya yang sedang menerima rawatan di IJN.

Beliau disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kes rasuah dan pengubahan wang haram yang dikaitkan dengan perbelanjaan serta perolehan dana bagi tujuan promosi dan publisiti program Keluarga Malaysia ketika menjadi Perdana Menteri.

Siasatan itu turut menyaksikan SPRM merampas wang tunai pelbagai mata wang dianggarkan berjumlah RM170 juta serta menyita 16 kilogram jongkong emas bernilai hampir RM7 juta daripada beberapa lokasi yang dikaitkan dengan siasatan. -MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast