KUALA LUMPUR – Peruntukan melalui sistem MyKhas bukan wang yang diberikan kepada ahli Parlimen untuk kegunaan mereka, sebaliknya ia merupakan Peruntukan Khas Perdana Menteri yang disalurkan bagi manfaat rakyat.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, kedudukan peruntukan berkenaan jelas berdasarkan dokumen Rancangan Malaysia serta Belanjawan dan terpulang kepada perdana menteri untuk menentukan kaedah penyalurannya.
“Kalau kita tengok dalam dokumen Rancangan Malaysia dan juga dokumen Bajet, yang dimaksudkan adalah Peruntukan Khas Perdana Menteri.
“Maka terpulang kepada perdana menteri bagaimana untuk salurkan,” katanya kepada media selepas menghadiri Konvensyen Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Internet Selamat 2026 Peringkat Kuala Lumpur di Imbi Convention Hall, Cheras, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas isu peruntukan kawasan susulan persoalan yang dibangkitkan beberapa ahli Parlimen berhubung akses kepada MyKhas.
“Macam saya pun, MyKhas tak boleh digunakan untuk saya. MyKhas digunakan untuk rakyat, penduduk, pengundi dalam Parlimen.
“Saya tak boleh menggunakan untuk diri saya. Jadi apa yang Perdana Menteri sebutkan itu betul, tepat dan benar,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai.
Menurut Fahmi, permohonan berkaitan peruntukan berkenaan dikendalikan menerusi Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM), termasuk bagi kawasan yang menggunakan mekanisme penyaluran berbeza.
Katanya, bagi kawasan Petaling Jaya, perdana menteri telah mengumumkan mekanisme penyaluran melalui Ketua Cabang Keadilan Petaling Jaya bersama dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).
Di Ampang pula, katanya, peruntukan berkenaan dikendalikan melalui Setiausaha Politik Perdana Menteri.
“Tidak menjadi apa-apa masalah ataupun isu kerana duit itu akan terus disampaikan kepada rakyat. Dan tidak pernah sesekali pergi kepada Ahli Parlimen,” tegasnya lagi.
Isu akses MyKhas sebelum ini menjadi perhatian selepas Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chun dan Ahli Parlimen Ampang, Rodziah Ismail membangkitkan isu berkaitan pengurusan peruntukan di kawasan mereka.
Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini menjelaskan, peruntukan berkenaan adalah Peruntukan Khas Perdana Menteri dan penyalurannya boleh dilaksanakan melalui mekanisme yang ditentukan kerajaan bagi memastikan bantuan sampai kepada rakyat.
Fahmi menegaskan, perubahan terhadap pihak atau saluran yang mengendalikan permohonan tidak bermakna rakyat di kawasan berkenaan dinafikan bantuan kerana matlamat peruntukan itu kekal untuk manfaat penduduk. – MalaysiaGazette
















