KUALA NERUS – Seramai 120 pemimpin mahasiswa tempatan dan antarabangsa menyertai ESG Global Young Leaders Summit 2026 anjuran Universiti Malaysia Terengganu (UMT) yang berlangsung selama enam hari bermula 5 Ogos lalu.
Persidangan antarabangsa kali kedua bertemakan Mobilizing Young Leaders as Catalysts for Blue Justice itu menghimpunkan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), pemimpin persatuan mahasiswa serta pelajar yang terlibat dalam projek kelestarian.
Menjalankan Fungsi Naib Canselor UMT, Prof. Dr. Suriyani Muhamad berkata, UMT komited melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah mempunyai integriti, kepimpinan serta rasa tanggungjawab terhadap masyarakat dan alam sekitar.
Katanya, mahasiswa didedahkan kepada ESG menerusi pengalaman sebenar di lapangan termasuk aktiviti A Day as a Fisherman, Adopt-A-Tree, Sustainable Fisherman Lab, eksplorasi ekosistem bakau dan interaksi bersama komuniti nelayan.
“Pengalaman ini mengingatkan kita bahawa kelestarian paling berkesan apabila ilmu diterjemahkan kepada tindakan yang bermakna,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutup ESG Global Young Leaders Summit 2026 di Dewan Sultan Mizan, UMT, Sabtu lalu.
Sementara itu, peserta antarabangsa dari Sudan, Isra Salah Koko Hasan berkata, program itu memberi pengalaman baharu dalam memahami ESG bukan sekadar konsep, tetapi tanggungjawab yang perlu diterjemahkan melalui tindakan.
Majlis penutup persidangan itu disempurnakan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Prof. Datuk Dr. Azlinda Azman di Dewan Sultan Mizan, UMT, Sabtu lalu. – MalaysiaGazette
















