Dr. Yeap (dua dari kiri) bersama kumpulan kakitangan perubatan yang terlibat dalam melakukan prosedur pembedahan Awake Craniotomy ke atas seorang pesakit di Hospital Tawau.

TAWAU – Universiti Malaysia Sabah (UMS) memperkukuh pemindahan ilmu dan kepakaran kepada komuniti kesihatan di Pantai Timur Sabah menerusi Knowledge Transfer Programme (KTP) yang memfokuskan teknik pembiusan otak secara sedar atau Awake Craniotomy.

Program menerusi Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) itu bertujuan memperluas akses kepada latihan klinikal berimpak tinggi, sekali gus meningkatkan keupayaan perkhidmatan pembedahan saraf di Sabah, khususnya di kawasan pantai timur.

Pensyarah Kanan FPSK yang juga pakar Neuroanestesiologi dan Neurokritikal FPSK serta Hospital UMS (HUMS), Dr. Yeap Boon Tat mengetuai perkongsian kepakaran dalam program berkenaan.

Beliau berkongsi pengalaman dan amalan terbaik dalam pengurusan anestesia bagi prosedur Awake Craniotomy ke atas seorang pesakit tumor otak di Hospital Tawau.

Dr. Yeap (tiga dari kanan) selepas pembedahan.

Prosedur berkenaan membolehkan pesakit kekal sedar pada fasa tertentu ketika pembedahan otak bagi membolehkan pakar bedah memantau fungsi neurologi secara langsung.

Menurut kenyataan FPSK, pendekatan itu memerlukan kerjasama rapat antara pakar bius, pakar bedah saraf dan pasukan multidisiplin bagi memastikan keselamatan pesakit serta mencapai hasil pembedahan yang optimum.

Program KTP itu turut memberi pendedahan kepada teknologi dan teknik terkini dalam bidang neuroanestesiologi, selain memperkukuh kerjasama antara UMS dan fasiliti kesihatan di Pantai Timur Sabah.

UMS berkata, usaha berkenaan mencerminkan komitmen universiti dalam pemindahan ilmu, pembangunan modal insan serta pengukuhan ekosistem kesihatan negeri menerusi kerjasama antara institusi akademik dan penyedia perkhidmatan kesihatan. – MalaysiaGazette



IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast