Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Sokongan terhadap DAP akan lebih merosot sekiranya parti itu membuat keputusan keluar daripada Kabinet Kerajaan Madani, kata pemerhati politik, Prof Madya Dr Mohd Yusri Ibrahim.

Menurut pensyarah Universiti Malaysia Terengganu (UMT) itu, keputusan tersebut akan membuatkan pengundi khususnya kaum Cina lebih `menyampah’ dengan DAP.

Tambahnya, pengundi sudah memberi kepercayaan kepada DAP pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dengan sebahagian pemimpinnya turut dilantik sebagai menteri; timbalan menteri serta pelbagai jawatan pentadbiran lain.

“Kemudian dengan sebab itu dan sebab ini, alasan itu dan alasan ini, mereka nak keluar daripada kerajaan.

“Kemudian dalam PRU16 nanti nak minta rakyat, khususnya pengundi Cina undi mereka lagi supaya mereka boleh menang dan jadi kerajaan lagi?” katanya menerusi Facebook.

Prof Madya Dr Mohd Yusri Ibrahim

Tambah Mohd Yusri yang juga Felo Penyelidik Unit Literasi dan Advokasi Politik UMT, sejak PRN Sabah, membawa ke Johor dan seterusnya ke Negeri Sembilan, pasukan penyelidikannya telah berkomunikasi dengan ramai pengundi etnik Cina.

Menurutnya, berdasarkan penilaian mereka, masyarakat Cina sebenarnya sudah tiada sentimental dengan DAP dengan sebahagian lain masih memberi undi disebabkan tiada alternatif yang sesuai.

Dalam masa sama, ujar beliau, sebahagiannya sudah mula beralih kepada parti lain, contohnya kepada Warisan di Sabah dan kembali menyokong MCA di semenanjung.

“Jika orang Cina melihat tindakan-tindakan DAP nanti mentah dan tidak masak, tidak mustahil mereka akan meninggalkan DAP dan berpaling arah secara besar-besaran kepada MCA, terutama jika BN bergerak solo,” katanya.

Sehubungan itu, tambah Mohd Yusri, pilihan yang ada pada DAP kini adalah untuk terus bersuara dan memperjuangkan isu-isu yang masih berbangkit ketika mereka masih dalam kerajaan.

“Dengan kata lain, buatlah kerja sungguh-sungguh, pengundi dah bagi mandat.

“Sama ada isu cukai, subsidi, e-invois, penguatkuasaan lori, iklim perniagaan dan sebagainya yang dibangkitkan, sudah tentu lebih mudah disuarakan dalam kerajaan berbanding berada di luar,” katanya.

Tambah beliau, semua pihak memahami tidak mudah untuk berada dalam Kerajaan Perpaduan yang berbeza ideologi untuk mengetengahkan kehendak politik masing-masing.

“Tapi berusahalah, pengundi nak tengok effort yang mencukupi, mereka dah bagi kepercayaan, mereka dah bagi undi seperti yang diminta sebelum ini.

“Jika putuskan keluar kerajaan 16 Ogos ini, kemudian bila PRU16 nanti kempen semula supaya diberi undi untuk menang dan jadi kerajaan sekali lagi, supaya dapat selesaikan isu-isu berbangkit tadi, agak-agak pengundi percaya?” katanya.

Terdahulu media melaporkan, DAP akan menentukan kedudukannya dalam kerajaan semasa Persidangan Kebangsaan parti itu yang dijadual berlangsung pada 16 Ogos ini.

Setiausaha Agungnya, Anthony Loke dilaporkan berkata, satu usul berhubung perkara itu akan dibentangkan kepada perwakilan sebelum diputuskan oleh hampir 4,000 perwakilan yang layak menghadiri persidangan berkenaan.

Anthony turut menyatakan persidangan berkenaan akan menentukan hala tuju masa depan DAP dalam arena politik negara. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast