Foto: Ihsan TLDM

KUALA LUMPUR Industri pertahanan dan ketenteraan maritim negara melakar satu lagi pencapaian bersejarah dengan terlaksananya Majlis Penamaan dan Pelancaran kapal ketiga Littoral Mission Ship Batch 2 (LMSB2) bagi Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Majlis penuh tradisi ketenteraan itu berlangsung dengan gilang-gemilang di Istanbul Shipyard, Türkiye semalam dengan disaksikan oleh Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah dan disempurnakan oleh Sultanah Kedah, Sultanah Maliha Tengku Ariff selaku Royal Sponsor.

Kerabat diraja Negeri Kedah turut berangkat mengiringi baginda berdua.

Sementara itu, delegasi Kementerian Pertahanan pula diketuai oleh Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Malek Razak Sulaiman dan turut disertai oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan), Datin Roszanina Wahab dan Timbalan Panglima Tentera Laut, Laksamana Madya Datuk Ts. Badarudin Taha mewakili Panglima Tentera Laut.

TLDM dalam satu kenyataan berkata, kapal perang moden ketiga dalam siri LMSB2 itu secara rasminya dinamakan sebagai “Tunku Osman Jewa” dengan nombor pennant 143.

Foto: Ihsan TLDM

Menurutnya, penamaan itu merupakan penghormatan tertinggi negara bagi mengenang jasa serta mengabadikan legasi Almarhum Jeneral Tan Sri Tunku Osman Tunku Mohammad Jewa, seorang kerabat diRaja Kedah dan merupakan Panglima Angkatan Tentera pertama yang dilantik dalam kalangan anak watan.

Ujarnya, dengan terlaksananya upacara bersejarah semalam itu juga, tiga siri pelancaran bagi kapal LMSB2 telah berjaya dilaksanakan di Istanbul Shipyard.

“Kemuncak pelancaran kapal ketiga ini menyaksikan ketiga-tiga aset tempur strategik tersebut iaitu Tunku Laksamana Abdul Jalil (141); Raja Laut (142) dan Tunku Osman Jewa (143) kini bersedia sepenuhnya untuk melangkah ke fasa seterusnya secara serentak.

“Kesemua kapal ini akan mula menjalani fasa integrasi sistem penderia, pemasangan sistem peperangan dan persenjataan moden serta melalui siri penilaian ujian pelabuhan (Harbour Acceptance Trials) dan ujian laut (Sea Acceptance Trials),” katanya.

Tambahnya, momentum pembinaan mengikut jadual itu meletakkan ketiga-tiga kapal tersebut berada pada landasan yang tepat untuk diserahkan secara rasmi kepada TLDM pada penghujung tahun hadapan. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast