SHAH ALAM – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh memberi jaminan peruntukan Bajet 2027 akan dimanfaatkan untuk memenuhi keperluan asas rakyat tanpa melibatkan projek-projek mega yang membazir.

Beliau berkata, antara keutamaan tahun depan ialah memperkasakan usaha mewartakan kawasan lapang bagi menyediakan persekitaran yang menyokong gaya hidup sihat serta meningkatkan kualiti hidup penduduk, termasuk golongan bekerja dan pesara.

“Harapan kita untuk tahun depan ialah terus memperkasakan idea mewartakan kawasan lapang kerana kita nak gaya hidup yang sihat dan kualiti hidup yang baik untuk golongan yang bekerja serta yang sudah bersara.

Back to basic dalam bajet. Tidak ada pembaziran projek-projek mega,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran Program Pit Stop Petron, di sini.

Menurut Hannah, Jabatan Wilayah Persekutuan akan mengemukakan cadangan keperluan peruntukan kepada Kementerian Kewangan mengikut proses penyediaan bajet yang lazim.

“Jabatan Wilayah Persekutuan akan berjumpa dengan Kementerian Kewangan dan kementerian itu juga akan bertemu semua menteri untuk melihat wish list masing-masing,” katanya.

Beliau berkata, peruntukan yang diumumkan bagi 2026 antaranya digunakan untuk menaik taraf Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan perumahan awam di Kuala Lumpur, selain kerja penurapan jalan serta mitigasi banjir.

Sementara itu, sebanyak 177 stesen Petron di Lembah Klang kini menyertai kempen Pit Stop Rahmah dalam usaha membantu meringankan beban penduduk, khususnya golongan bekerja dan keluarga.

Hannah berkata, inisiatif hasil kerjasama Petron dan Jabatan Wilayah Persekutuan itu membuktikan peranan sektor swasta dalam membantu kerajaan menangani keperluan harian rakyat.

Katanya, pendekatan sama boleh diperluaskan kepada lebih banyak sektor termasuk kedai minyak, kedai kopi dan institusi perbankan menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang lebih kreatif dan bersasar.

“Ini adalah permulaan. Dengan adanya kempen seperti ini, Petron boleh mengumpulkan data dan kita boleh meneliti trend orang yang bekerja di Kuala Lumpur, contohnya waktu mereka bergerak dari pukul 6 hingga 8 pagi atau pulang dari pukul 6 hingga 8 malam.

“Apabila kita ada corak dan data, kita boleh mencari pakej atau inisiatif yang lebih bertepatan dan sesuai untuk golongan yang bekerja,” katanya.

Hannah turut berharap lebih banyak pihak swasta tampil dengan idea kreatif bagi membantu rakyat menerusi inisiatif yang lebih bersasar dan memberi kesan langsung kepada kehidupan seharian. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast