KUALA LUMPUR – Penyanyi bersuara emas, Ernie Zakri membuka babak baharu dalam perjalanan seninya menerusi pelancaran single terbaharu, Sejambak Bunga yang memperlihatkan sisi dirinya yang lebih reflektif dan matang.
Lagu ini berbicara tentang bagaimana pengalaman membentuk seseorang, serta
keberanian untuk menerima, belajar dan terus bergerak ke hadapan.
“Sejambak Bunga bagi saya ialah sebuah lagu tentang kebangkitan dan kita
semua melalui pelbagai fasa dalam kehidupan dan setiap pengalaman itu sedikit sebanyak
membentuk siapa diri kita hari ini.
“Lagu ini adalah tentang menerima apa yang telah dilalui, belajar daripadanya dan terus melangkah sebagai versi diri yang lebih baik,” kata wanita berusia 34 tahun ini.
Dicipta dan ditulis oleh Hael Husaini bersama Iqie Hugh, Sejambak Bunga menjadi karya
pertama Ernie hasil sentuhan kedua-dua pencipta lagu tersebut.
Bagi Ernie, antara mesej terpenting yang ingin disampaikan menerusi lagu ini adalah tentang kekuatan untuk tetap memilih kebaikan.
“Tak semua luka perlu dibalas dengan luka kerana adang-kadang kemenangan kita ialah apabila kita tetap memilih untuk menjadi baik.
“Bagi saya, kekuatan sebenar adalah apabila kita mampu terus melangkah dengan hati yang tenang tanpa membiarkan pengalaman lalu mengubah nilai yang
kita pegang,” katanya.

pertama Ernie Zakri hasil sentuhan kedua-dua pencipta lagu tersebut.
Sementara itu, Sejambak Bunga dipersembahkan buat pertama kali ketika pertunjukan fesyen “Lerai” oleh pereka fesyen Zaimi Zulkafli di Kuala Lumpur Fashion
Week (KLFW) 2026 baru-baru ini.
Kata isteri kepada penyanyi Syamel itu, pemilihan pentas tersebut mempunyai makna tersendiri apabila konsep yang diketengahkan menerusi koleksi itu berkongsi semangat yang selari dengan Sejambak Bunga.
Pertemuan muzik dan fesyen memberikan dimensi visual kepada pelancaran tersebut.
Jika muzik menjadi medium Ernie untuk menyampaikan emosi dan cerita, fesyen pula menawarkan bahasa berbeza untuk menterjemahkan rasa yang sama kepada khalayak.
“Apabila saya memahami konsep ‘Lerai’ yang dibawa oleh Zaimi, saya rasa ada persamaan dengan apa yang ingin saya sampaikan melalui ‘Sejambak Bunga’.
“Muzik dan fesyen mempunyai cara yang berbeza untuk bercerita, tetapi kedua-duanya mampu menyampaikan rasa dan emosi.
“Sebab itu saya rasa pentas ini sangat sesuai untuk memperkenalkan lagu ini,” kata Ernie yang juga ibu kepada seorang anak perempuan. – MalaysiaGazette

















