Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Kemuning, Preakas Sampunathan ketika membahaskan Rancangan Selangor Kedua (RS2) 2026-2030 di Dewan Negeri Selangor, Shah Alam, hari ini.

SHAH ALAM – Malaysia bukan milik mana-mana kaum secara eksklusif sebaliknya merupakan negara milik bersama setiap warganegara yang mencintai, mempertahan dan membangunkannya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Kemuning, Preakas Sampunathan menegaskan, isu Tanah Melayu tidak seharusnya ditafsirkan sehingga menimbulkan persepsi bahawa kaum Cina dan India tidak mempunyai tempat atau hak sama dalam negara ini.

“Ini negara Malaysia, ini negara saya. Ini negara kita. Malaysia bukan satu negara milik satu kaum saja.

“Ia milik semua rakyat Malaysia, termasuk Sabah dan Sarawak. Malaysia adalah milik setiap warganegaranya,” katanya ketika membahaskan Rancangan Selangor Kedua (RS2) 2026-2030 di Dewan Negeri Selangor, hari ini.

Preakas berkata, politik berasaskan identiti dan kaum yang semakin rancak selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan dan Johor perlu dihentikan kerana hanya akan mewujudkan ketakutan serta memecahbelahkan masyarakat.

Menurutnya, naratif yang sering meletakkan sesuatu kaum atau parti sebagai ancaman kepada Islam dan orang Melayu juga perlu ditolak sekiranya Selangor benar-benar mahu muncul sebagai negeri berstatus ekonomi bertaraf ASEAN.

“Ini adalah isu yang selalu digunakan untuk memecahbelahkan kita, mendiskriminasikan sesuatu kaum.

“Kita tidak boleh melakukan (usaha menjadikan Selangor) negeri modal ASEAN dengan politik ketakutan. Kita perlukan semua bakat.

“Kita memerlukan anak Melayu berbakat, anak Cina berinovatif, anak India berani, Orang Asli serta rakyat Sabah dan Sarawak. Kita memerlukan setiap rakyat Malaysia,” katanya.

Dalam nada tegas, Preakas turut menggunakan perkembangan teknologi dan industri semikonduktor sebagai contoh bahawa kejayaan ekonomi tidak bergantung kepada latar belakang kaum seseorang.

“AI (kecerdasan buatan) tidak akan bertanya apakah kaum seorang programmer. Semikonduktor tidak akan bertanya apakah agama seorang jurutera.

“Pelabur tidak datang kerana kita paling hebat bergaduh mengenai kaum. Pelabur akan datang kerana ada kestabilan, bakat, infrastruktur, integriti, undang-undang dihormati dan masyarakat yang yakin pada masa depannya,” katanya.

Beliau berkata, sekiranya Selangor mahu membina ekonomi bertaraf dunia, pemikiran serta politik yang diamalkan juga perlu berubah daripada politik identiti kepada politik penyelesaian masalah.

“Politik kita mesti berubah, daripada ‘apakah kaum kamu’ kepada ‘apa yang boleh kita bina bersama’.

“Daripada ‘siapa yang harus kita takut’ kepada ‘masalah apa yang kita harus selesaikan’.

“Daripada ‘siapa yang lebih berhak kepada Malaysia’ kepada ‘bagaimana setiap rakyat Malaysia boleh menyumbang kepada kejayaan negara’,” katanya.

Preakas turut menggesa rakyat menolak naratif identiti politik dan perkauman serta mana-mana pemimpin yang menjadikan kebencian sebagai modal politik.

“Masa depan Malaysia mesti dibina atas perpaduan, keadilan dan saling menghormati,” katanya.

Dalam masa sama, beliau juga membangkitkan keadaan di Negeri Sembilan selepas pilihan raya yang tidak mempunyai wakil dalam kalangan kaum India di Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Perkembangan tersebut perlu dilihat sebagai satu peringatan mengenai kepentingan memastikan keterangkuman serta representasi semua kaum dalam landskap politik negara,” katanya.

Dalam perbahasan sama, Preakas turut menyentuh isu Lembaga Tabung Haji (TH) yang sebelum ini menjadi pertikaian politik, termasuk dakwaan bahawa DAP mengancam kepentingan orang Islam.

“Terdapat usaha menggunakan isu berkenaan untuk membina naratif identiti politik dan menimbulkan persepsi bahawa sesuatu parti atau kaum menjadi ancaman kepada kepentingan Islam,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast