Tertuduh, Syed Khairul Anwar Syed Jaafar, 40, sebagai bapa tiri kepada kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun 11 bulan sewaktu kejadian mengaku bersalah telah menganiaya iaitu dengan menyebabkan kanak-kanak itu mengalami kecederaan fizikal dan emosi.

MELAKA – Seorang peniaga mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, di sini hari ini atas pertuduhan mendera anak tirinya sehingga menyebabkan kecederaan fizikal dan emosi, minggu lalu.

Tertuduh, Syed Khairul Anwar Syed Jaafar, 40, membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah dihadapan Hakim Rohatul Akmar Abdullah.

Rohatul Akmar pada penghakimannya bagaimanapun menetapkan Jumaat ini sebagai tarikh hukuman sementara menunggu fakta kes.

Mengikut pertuduhan, tertuduh sebagai bapa tiri kepada kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun 11 bulan sewaktu kejadian didapati telah menganiaya iaitu dengan menyebabkan kanak-kanak itu mengalami kecederaan fizikal dan emosi.

Perbuatan itu dilakukan di sebuah rumah beralamat di Taman Tanjung Minyak Perdana dalam daerah Melaka Tengah pada kira-kira pukul 11 pagi hingga 12 tengah hari 4 Ogos 2026.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001.

Difahamkan sebelum kejadian mangsa dikejutkan dari tidur oleh tertuduh yang menyuruhnya membuat latihan sekolah.

Tertuduh bagaiamanapun tiba-tiba melibas belakang badan mangsa menggunakan penyangkut baju plastik sebanyak lima kali sehingga mengakibatkan kesan lebam di bahagian punggung.

Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu agar dibenarkan untuk diikat jamin dengan alasan dia hanya bekerja sebagai peniaga makanan dan perlu menanggung tiga anak kandung dan dua anak tiri, selain telah menyesali perbuatannya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Qaiyyum Ramlan.

Selepas mendengar rayuan tertuduh, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM9,000 dan menetapkan tarikh 14 Ogos ini untuk serahan fakta kes dan hukuman. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast