Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim disaran meneruskan usaha ‘menggeledah’ dan ‘merawat’ badan berkanun lain seperti Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) dan Majlis Amanah Rakyat (MARA) bagi memastikan institusi berkenaan bebas daripada masalah tadbir urus.

Felo Akademi Sains Malaysia, Prof. Dr. Ahmad Ismail berkata, walaupun belum sepenggal menjadi Perdana Menteri, Anwar telah membuktikan keupayaannya menerusi pelaksanaan skim pemulihan Lembaga Tabung Haji (TH) yang sebelum ini dikaitkan dengan kerugian hampir RM13 bilion.

“Bagi masa seterusnya dalam penggal ini dan insya-Allah dalam penggal kedua sebagai PM, Anwar disaran meneruskan geledah dan rawat Felda dan MARA yang kita dengari sebelum ini mempunyai banyak masalah tadbir urus.

“Itulah kekuatan Anwar dan apa yang Malaysia perlukan, dasar anti-rasuah yang beliau amalkan bukan sahaja menyelamatkan duit pembayar cukai dan para peneroka seperti dalam kes Felda, Anwar diperlukan lagi untuk membawa Malaysia ke tahap lebih tinggi,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dr. Ahmad Ismail

Mengulas lanjut, Ahmad berkata, Felda dan MARA mempunyai kepentingan besar dalam pembangunan orang Melayu, selain menjadi sebahagian daripada agenda yang ditekankan menerusi Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB), khususnya dalam aspek pendidikan dan keusahawanan.

Katanya, perkara itu semakin penting apabila kerajaan memberi penekanan terhadap pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

“Lebih 360 Sekolah Felda perlu diberikan perhatian sesuai dengan matlamat penubuhan Felda dan resolusi KEB, begitu juga dengan MARA. Pencapaian pembangunan dalam pendidikan dan keusahawanan mesti diaudit.

“Perkara ini perlu dilakukan Perdana Menteri bersesuaian dengan perjuangan beliau tentang kemiskinan melalui pendidikan dan keusahawanan,” katanya.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan semalam mengesahkan tahap kerugian hampir RM13 bilion membabitkan kerugian RM10.2 bilion yang ditanggung dana kerajaan melalui Urusharta Jamaah pada 2018 serta rosot nilai RM2.6 bilion yang ditanggung TH sendiri.

Sebelum ini, Anwar berkata, sebaik kembali menerajui pentadbiran negara, beliau menerima laporan bahawa Felda menanggung kerugian hampir RM10 bilion akibat salah urus serta campur tangan politik yang berlebihan.

Sementara itu, Ketua Pengarah MARA, Datuk Seri Azhar Abdul Manaf dilaporkan menjelaskan kerugian Mara Inc bernilai RM286.30 juta yang terkumpul dari 2012 hingga 2022, seperti dapatan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2/2024, berpunca daripada pembelian aset luar negara, khususnya di Australia dan United Kingdom (UK) antara 2012 hingga 2014. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast