Mike Chong Yew Chuan

KUALA LUMPUR – Pemuda MCA menggesa kerajaan mengadakan sidang khas Parlimen bagi membahaskan isu penghantaran pulang 5,000 pelarian Myanmar dari Malaysia yang didakwa semakin mengelirukan susulan kenyataan berbeza antara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil.

Timbalan Pengerusi Pemuda MCA Kebangsaan, Mike Chong berkata, rakyat berhak mengetahui pendirian sebenar kerajaan berhubung isu berkenaan, khususnya selepas wujud percanggahan kenyataan mengenai penghantaran pulang pelarian ke Myanmar.

Beliau berkata, pada 29 Julai lalu, Anwar menyatakan Myanmar bersetuju menerima semula 5,000 pelarian Rohingya dari Malaysia.

“Bagaimanapun, kenyataan itu bercanggah dengan kenyataan Menteri Komunikasi pada 9 Ogos bahawa Malaysia tidak akan menghantar pulang mana-mana pelarian sekiranya terdapat risiko mereka dianiaya atau nyawa mereka terancam,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Mike, ketidakpastian dan percanggahan pendirian kerajaan hanya akan meningkatkan kebimbangan rakyat, lebih-lebih lagi apabila isu pelarian kini bukan lagi sekadar persoalan kemanusiaan.

Katanya, isu berkenaan turut dilihat mempunyai implikasi terhadap aspek keselamatan negara, kesihatan awam dan ekonomi, selain berpotensi menjejaskan keyakinan rakyat terhadap kerajaan.

“Rakyat menyuarakan kebimbangan berhubung keselamatan komuniti, risiko penularan penyakit berjangkit, kewujudan penempatan tidak sah serta beban tambahan terhadap perkhidmatan kesihatan awam dan infrastruktur negara yang akhirnya ditanggung rakyat sebagai pembayar cukai,” katanya.

Sehubungan itu, Mike berkata, sidang khas Parlimen perlu diadakan segera bagi membolehkan ahli Parlimen membahaskan isu berkenaan secara terbuka dan menyeluruh.

Beliau berkata, perbahasan itu penting bagi mencari penyelesaian yang adil dan bertanggungjawab, selain memastikan kepentingan rakyat serta negara diberi keutamaan.

“Apabila kerajaan tidak dapat memberikan ketelusan atau keyakinan awam yang mencukupi dalam menangani isu ini, sudah tiba masanya ahli Parlimen diberi peluang membahaskannya secara terbuka dan menyeluruh,” katanya.

Mike turut mempersoalkan mengapa isu pelarian ini tidak diberikan pertimbangan sama seperti sidang khas Dewan Rakyat bagi membahaskan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan Tabung Haji.

“Jika kerajaan boleh mengadakan sidang khas untuk membahaskan laporan RCI mengenai Tabung Haji, maka isu pelarian yang cukup penting sehingga memberi implikasi terhadap pelbagai aspek kehidupan rakyat biasa juga wajar dibahaskan dalam sidang khas Parlimen,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here