MUAR – Polis berjaya menyelesaikan beberapa kes pecah rumah di sini sejak dua bulan lalu termasuk kes video tular ceroboh rumah melalui tingkap dapur susulan penahanan tiga lelaki pelarian Myanmar.
Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Muar memberkas mereka di kawasan Melaka Tengah, Melaka.
“Ketiga-tiga suspek ditangkap antara pukul 12.30 tengah malam hingga 1.30 pagi pada 26 Julai lalu. Siasatan mendapati suspek dipercayai mempunyai kaitan dengan beberapa kes pecah rumah di Muar dalam tempoh berkenaan.
“Susulan tangkapan tersebut empat kertas siasatan sudah dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya dan keputusan pertuduhan sudah diperoleh,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, dua suspek akan dihadapkan ke mahkamah di sini esok, manakala seorang lagi suspek dijadikan saksi pendakwaan.
Terdahulu satu rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang memaparkan seorang individu dipercayai menceroboh sebuah rumah melalui tingkap gelongsor di Taman Jaya, Bakri di sini sekitar pukul 2 pagi tular dalam media sosial.
Perkongsian itu turut mengingatkan penduduk sekitar supaya lebih berwaspada terhadap kejadian pecah rumah yang didakwa berlaku di kawasan berkenaan.
Perkongsian itu turut menarik perhatian ramai, termasuk seorang pengguna yang menjelaskan tingkap jenis gelongsor tanpa ciri keselamatan tambahan boleh dibuka dari luar menggunakan alat seperti dawai keras atau pemutar skru. – MalaysiaGazette
















