Kumar menunjukkan parang dirampas daripada suspek yang menculik dua warga Singapura, di IPK Johor, Johor Bahru hari ini

JOHOR BAHRU – Seorang banduan lelaki warga Singapura yang melarikan diri ke Johor untuk mencari perlindungan bertukar mimpi ngeri apabila diculik sebelum dicederakan dan keluarganya diperas ugut dengan meminta wang tebusan SGD80,000.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman, Datuk M. Kumar berkata, mangsa yang berusia 32 tahun dan berstatus dikendaki polis Singapura pada mulanya masuk ke negara ini secara haram pada hujung Mei lalu.

Menurutnya, mangsa lelaki yang tiba di Johor Bahru kemudian mendapatkan bantuan daripada seorang kenalannya di Singapura.

Bagaimanapun, keadaan bertukar buruk apabila dia dan teman wanitanya, 28, yang turut datang ke Johor secara sah diculik oleh kenalan berkenaan bersama lima lagi suspek.

“Kumpulan yang dianggotai enam individu itu mengambil wang tunai milik mangsa berjumlah SGD12,000 dan RM41,400. kumpulan suspek ini kemudian meminta wang tebusan SGD80,000 atau RM264,440 kepada ibu mangsa di Singapura,” katanya.

Kumar menunjukkan rantai emas, wang tunai, jam tangan Rolex dan beberapa barang lain, dalam sidang akhbar di IPK Johor, Johor Bahru hari ini

 

Beliau berkata demikan dalam sidang akhbar berkenaan kejayaan menyelesaikan kes culik tersebut di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.

Katanya, ibu mangsa kemudian memaklumkan menerima ugutan tersebut kepada Pasukan Polis Singapura (SPF) sebelum bekerjasama dengan PDRM.

Menurut Kumar, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman dan JSJ Johor kemudian menubuhkan satu pasukan khas pukul 6 petang pada 11 Ogos lalu.

“Semasa ditahan mangsa lelaki dikelar di kedua-dua bahagian peha sebelum gambar kedua-dua peha yang dicederakan itu dihantar kepada ibu mangsa lelaki sebagai ugutan untuk meminta wang tebusan SGD80,000,” katanya.

Jelasnya, hasil rundingan keluarga mangsa lelaki dengan suspek berkenaan setuju untuk membayar wang tebusan SGD25,000.

Kumar menunjukkan lima daripada enam suspek diberkas dan dua mangsa yang berjaya diselamatkan dalam kes Penculikan warga Singapura

 

Kumar berkata, sejumlah SGD5,000 dibayar terlebih dahulu secara dalam talian sebelum selebihnya akan dibayar secara tunai dalam satu perjumpaan antara suspek dan keluarga mangsa lelaki itu.

“Pertemuan untuk urusan pembayaran wang tebusan diadakan di sebuah pasar raya di kawasan Nusa Bestari, Iskandar Puteri pukul 6 petang semalam.

“Pihak polis melakukan serbuan dan berjaya menahan seorang suspek berusia 40 tahun serta menyelamatkan kedua-dua mangsa.

“Mangsa lelaki ditemui dalam keadaan cedera di kedua-dua bahagian peha disebabkan kelaran dipercayai menggunakan senjata tajam,” katanya.

Susulan itu katanya, beberapa siri serbuan dijalankan di kawasan Skudai dan berjaya menangkap empat lelaki dan seorang wanita warga tempatan berusia antara 32 hingga 46 tahun.

Kumar berkata, semakan rekod jenayah lampau ke atas kesemua suspek  mendapati lima daripadanya memiliki rekod membabitkan kesalahan jenayah dan dadah.

Antara wang tunai ringgit Malaysia dan dolar Singapura yang dirampas daripada enam suspek kes culik

Manakala ujian saringan awal air kencing yang dijalankan ke atas semua suspek mendapati empat suspek positif dadah jenis methamphetamine.

“Kedua-dua mangsa culik juga didapati positif dadah jenis methamphetamine dan mereka dihantar ke hospital bagi menjalani pemeriksaan kesihatan,” katanya.

Polis merampas pelbagai barangan dalam serbuan itu termasuk wang tebusan SGD12,000 (RM38,330), wang tunai RM41,400 dipercayai wang milik mangsa, serangkai kunci rumah;10 telefon bimbit; sehelai baju berwarna merah/biru, sehelai sekitar panjang; seutas rantai dipercayai emas, seutas jam tangan jenama Rolex dan sebuah Perodua Axis bewarna merah.

Menurutnya, nilai keseluruhan rampasan adalah RM264,440 dan kes disiasat di bawah Seksyen 3(1) Akta Penculikan 1961 iaitu menculik untuk wang tebusan.

Jika disabitkan kesalahan, mereka boleh dihukum penjara tidak kurang dari tiga puluh tahun tetapi tidak melebihi empat puluh 40 tahun dan sebat.

“Permohonan reman di bawah Seksyen 12 Akta Penculikan 1961 ke atas semua tangkapan dibenarkan selama 10 hari mulai 12 hingga 21 Ogos.

Kumar semasa sidang akhbar berkenaan kes penculikan dua warga Singapura di IPK Johor, Johor Bahru hari ini

Tambahnya, mangsa lelaki turut direman di bawah Akta Imigresen 1959/63 selama 14 hari mulai 12 sehingga 25 Ogos kerana tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan yang sah.

“Mangsa menghilangkan diri dari Parol Singapura dan memasuki negara ini menerusi laluan tidak sah dipercayai hujung Mei lalu.

“Dia dipercayai menghubungi kenalannya bagi memaklumkan keberadaan di negara ini namun ia diambil kesempatan oleh kenalannya itu bagi melakukan pemerasan.

“Mangsa wanita yang memasuki negara ini secara sah turut direman selama empat hari mulai 12 sehingga 15 Ogos kerana keputusan ujian saringan awal air kencing yang dijalankan ke atas mangsa positif dadah.

“Motif sebenar kejadian masih disiasat dan tindakan diteruskan untuk mengenal pasti serta mengesan suspek yang masih bebas,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast