Jenazah Nur Anggun yang maut disyaki dibunuh nenek tirinya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Makam Dagang, Kota Tinggi hari ini.

KOTA TINGGI – Suasana pilu menyelubungi upacara pengkebumian Nur Anggun Dahlia Abdullah berusia 16 bulan di Tanah Perkuburan Islam Makam Dagang, di sini hari ini yang meninggal dunia dipercayai didera dan dibunuh nenek tirinya.

Jenazah bayi perempuan berkenaan selamat dikebumikan pada pukul 11.50 pagi selepas disembahyangkan di Masjid Taman Sri Saujana pukul 11.10 pagi tadi.

Seorang kariah masjid berkenaan yang hanya mahu dikenali sebagai Aziz berkata, pengurusan jenazah bermula seawal pukul 10.30 pagi dengan urusan mandi dan kafan dijalankan di masjid tersebut.

“Kira-kira 20 orang hadir menyaksikan majlis pengebumian tersebut yang terdiri daripada ahli keluarga, termasuk ibu mangsa, serta jiran-jiran terdekat yang hadir memberi penghormatan terakhir,” katanya ketika ditemui di sini.

MalaysiaGazette hari ini melaporkan nenek tiri mangsa, Nurul Farhana Laili Shah, 39, dihadapkan ke Mahkamah Majistret hari ini atas pertuduhan membunuh bayi berkenaan.

Tertuduh didakwa membunuh Nur Anggun Dahlia di sebuah rumah di Taman Sri Saujana antara pukul 12.30 tengah hari, 30 Julai hingga 9.30 pagi, 31 Julai lalu.

Dia didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman mati atau penjara maksimum 40 tahun.

Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, hasil bedah siasat oleh Pakar Perubatan Forensik Hospital Pasir Gudang mengesahkan punca kematian mangsa disebabkan trauma objek tumpul pada abdomen dan dada, selain mendapati kesan luka serta lebam dipercayai akibat dipukul dan dipijak.

Ibu mangsa sebelum ini menyerahkan bayi berkenaan di bawah jagaan bapa serta ibu tirinya kerana perlu melanjutkan pengajian di sebuah kolej vokasional.

Nenek tiri bayi malang itu dipercayai telah mencederakan mangsa menggunakan tangan dan kaki dengan cara memukul dan memijaknya.

Mahkamah menetapkan 11 Disember ini sebagai tarikh sebutan semula kes bagi menunggu laporan kimia, DNA dan bedah siasat.- MalaysiaGazette

Nenek tiri didakwa bunuh bayi 16 bulan

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast