Dua mangsa dipercayai diserang sekumpulan lelaki menggunakan kayu dan besi berhampiran sebuah premis perniagaan dalam kejadian rusuhan bersenjata pada Isnin lalu.

KUANTAN – Enam lelaki termasuk seorang remaja berusia 17 tahun ditahan polis dalam tempoh 24 jam selepas dipercayai terlibat dalam kejadian rusuhan bersenjata yang mencederakan dua lelaki di Jalan Air Putih di sini.

Kedua-dua mangsa berusia 17 dan 19 tahun itu dipercayai diserang menggunakan kayu dan besi berhampiran sebuah premis perniagaan dalam kejadian kira-kira jam 2 pagi pada 10 Ogos lalu.

ACP Ashari Abu Samah

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner (ACP) Ashari Abu Samah berkata, sebuah Toyota Vios yang dinaiki salah seorang mangsa turut menjadi sasaran apabila dirosakkan dalam kejadian terbabit.

Menurutnya, laporan berhubung kejadian itu diterima pada jam 4.30 petang hari sama sebelum polis menjalankan siasatan dan mengesan suspek.

“Mangsa berusia 17 tahun mengalami kecederaan di belakang kepala, lengan kiri, belakang badan dan bahu kanan selain mengadu sakit pada lutut kiri.

“Seorang lagi mangsa berusia 19 tahun pula mengalami patah tangan kanan serta luka di dahi sehingga memerlukan pembedahan.

“Kedua-dua mangsa kini mendapatkan rawatan di hospital,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Tambahnya, hasil tindakan pantas polis, seorang suspek ditahan kira-kira jam 2 petang, 11 Ogos lalu di Alor Akar, di sini, manakala lima lagi suspek diberkas kira-kira jam 6 petang hari sama di kawasan berhampiran gelanggang bola keranjang di Jalan Bukit Setongkol Baru 6.

Menurutnya, kesemua suspek yang berusia antara 17 hingga 18 tahun itu kini ditahan reman sehingga 13 Ogos bagi membantu siasatan.

“Siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berpunca daripada ugutan oleh salah seorang individu untuk membakar sebuah kelab sukan.

“Polis bagaimanapun masih menjalankan siasatan lanjut termasuk soal siasat terhadap semua suspek bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian serta penglibatan setiap individu yang ditahan,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh dengan menggunakan senjata.

Ashari berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menegaskan tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk jenayah yang boleh mengancam keselamatan dan ketenteraman awam.

Ujarnya, orang ramai turut dinasihatkan supaya tidak mengambil tindakan sendiri dan segera menyalurkan maklumat kepada pihak polis sekiranya mempunyai maklumat berkaitan kejadian.

“Maklumat boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat Kes, Insp Siti Fatimah Mohd Said di talian 09-565 2074 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast