KLANG – Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) mengagihkan RM9.5 juta menerusi Program Agihan Fidyah Wang Saku Pelajar 2026 bagi membantu 19,000 pelajar daripada keluarga asnaf fakir miskin dan miskin sementara di seluruh Selangor.
Setiausaha MAIS, Mohd Sabirin Mohd Sarbini berkata, daripada jumlah berkenaan, RM3 juta disalurkan kepada Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPNS) bagi membantu 6,000 pelajar.
Katanya, sebanyak RM4 juta pula diperuntukkan kepada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) untuk 8,000 pelajar, manakala baki RM2.5 juta disalurkan kepada institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) bagi membantu 5,000 pelajar.
“Keseluruhan peruntukan RM9.5 juta ini memberi manfaat kepada 19,000 pelajar yang layak, melibatkan pelajar sekolah rendah, sekolah menengah, Sekolah Rendah Agama (SRA), Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA), serta pelajar IPTA dan IPTS di seluruh Selangor,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Program Agihan Fidyah MAIS Wang Saku Pelajar Tahun 2026 di Sekolah Kebangsaan Kampung Jawa, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, sebanyak RM3 juta disalurkan kepada JPNS melibatkan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kuala Selangor sebanyak RM544,000, diikuti PPD Klang sebanyak RM344,000, PPD Hulu Langat (RM316,000), PPD Gombak (RM259,000), PPD Kuala Langat
(RM250,500) dan PPD Sabak Bernam (RM207,500).
Selain itu, PPD Hulu Selangor menerima RM203,500, Sepang (RM187,000), Petaling Perdana (RM185,000) dan Petaling Utama (RM170,000).
Mohd Sabirin turut menyeru orang ramai menunaikan fidyah melalui laman sesawang rasmi MAIS kerana badan berkenaan merupakan pihak berkuasa agama yang diberi kuasa untuk mengutip dan mengagihkan fidyah di Selangor selaras dengan hukum syarak.
Program Agihan Fidyah Wang Saku Pelajar merupakan antara inisiatif MAIS dalam membantu meringankan beban pelajar daripada keluarga yang kurang berkemampuan, khususnya bagi memenuhi keperluan makanan dan minuman sepanjang tempoh persekolahan.
Menurutnya, program berkenaan merupakan antara inisiatif MAIS bagi meringankan beban keluarga kurang berkemampuan, khususnya dalam memenuhi keperluan makanan dan minuman pelajar sepanjang tempoh persekolahan.
Setiap pelajar yang layak menerima kupon wang saku bernilai RM500 secara sekali sahaja, yang boleh digunakan di kantin sekolah ditetapkan bagi membeli makanan dan minuman pada kadar RM5 sehari.
Pada 2025, MAIS mengagihkan RM4.68 juta melalui program sama kepada 15,613 pelajar di seluruh Selangor yang memenuhi syarat sebagai penerima agihan. – MalaysiaGazette
















