Mohd Nazif (tiga kiri) menerima sijil MBOR daripada wakil MBOR, Mohamad Nazrul Hafizi Ahmad Fauzi selepas persembahan Jurus Silat Batu Pahat Terbesar di Stadium Batu Pahat, malam tadi.

BATU PAHAT – Seramai 1,156 pesilat yang daripada pelbagai pertubuhan yang berhimpun atas pentas di Stadium Batu Pahat di sini malam tadi melakar sejarah tersendiri apabila diiktiraf The Malaysia Book of Records (MBOR).

Persembahan Jurus Silat Batu Pahat Terbesar itu menghimpunkan pesilat daripada 16 perguruan silat termasuk penyertaan dari luar Johor.

Aksi jurus yang seragam tersusun dipersembahkan secara serentak itu bukan sekadar semata-mata untuk mencatat rekod tetapi membawa mesej besar dalam menyatukan masyarakat serta mengangkat seni silat sebagai warisan budaya Melayu.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Batu Pahat, Mohd Nazid Jasiman berkata, persiapan bagi menjayakan persembahan bersejarah itu dilakukan sejak tiga bulan lalu menerusi latihan berperingkat-peringkat di gelanggang masing-masing sebelum latihan penyelarasan secara berkumpulan dilaksanakan.

“Kejayaan ini merupakan hasil kerjasama Majlis Perbandaran Batu Pahat (MPBP), Tourism Batu Pahat, Pertubuhan Inspirasi Tradisi Malaysia (Pitra), Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Suloh, Jabatan Pendidikan Negeri Johor, 16 perguruan silat serta seluruh jabatan MPBP yang berganding bahu memastikan persembahan bersejarah ini dapat direalisasikan.

“Program Jurus Silat Batu Pahat Terbesar ni adalah sebagai buah tangan MPBP dalam membina sahsiah anak bangsa khususnya dalam membentuk generasi muda yang mengenali, menghargai dan mempertahankan warisan budaya sendiri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebahagian peserta program Jurus Silat Batu Pahat Terbesar yang membuat persembahan di Stadium Batu Pahat malam tadi.

Beliau berkata, Jurus Silat Batu Pahat Terbesar bukan sekadar sebuah persembahan tetapi simbol perpaduan, disiplin, adab dan kecintaan kita terhadap warisan seni silat Melayu.

“Program sempena Karnival ke 25 Tahun MPBP turut menawarkan pelbagai aktiviti untuk seisi keluarga, termasuk Persembahan Tambo ATM, pameran aset Angkatan Tentera Malaysia (ATM), bomba dan polis, persembahan kebudayaan serta pelbagai program komuniti,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Tourism Batu Pahat, Qairy Maheran berkata, pelbagai program pelancongan berjaya dianjurkan di daerah ini antaranya Yok Mangan, River BP Healing, Yok BP Cruise , International Music Festival dan Universiti Busking Challenge bersama-sama Universiti Tun Hussein Onn (UTHM) sepanjang 2026.

“Banyak lagi program yang berteraskan kebudayaan orang Johor akan dirancang untuk dilaksanakan bagi memperkenalkan daerah Batu Pahat khasnya dan negeri Johor amnya bukan hanya kepada pelancong tempatannnamun turut memfokuskan kepada pelancong dari seluruh dunia,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast