PUTRAJAYA – Tempoh sah laku maksimum bagi Pasport Malaysia Antarabangsa (PMA) selama 10 tahun tidak akan dihentikan.
Sebaliknya, Ketua Pengarah Imiresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, apa yang akan dihentikan adalah permohonan bagi pemegang PMA yang ingin memperbaharui melebihi 10 tahun.
“Pertama saya ingin tegaskan, PMA selama 10 tahun tidak akan dihentikan dan ia berjalan seperti biasa sebagaimana dilaksanakan bermula pada 1 Julai lalu.
“Namun yang akan kita hentikan adalah tambahan melebihi 10 tahun, maksudnya pembaharuan untuk 10 tahun dan kita beri tambahan enam bulan sebelum ini.
“Kenapa kita beri tambahan ‘extra‘? Kerana mengambil kira baki pasport mereka yang sebelum ini tukar melebihi enam bulan supaya tidak merugikan mereka yang ada baki (bulan) banyak lagi,” katanya dalam sidang media di Kompleks Setia Perkasa di sini hari ini.
Tambah beliau, terdapat kesulitan dihadapi rakyat Malaysia menerusi sistem yang diguna pakai oleh dua syarikat penerbangan berkaitan yang tidak mengesahkan tempoh sah laku PMA melebihi 10 tahun.
“Susulan itu, tindakan telah diambil dengan menawarkan penggantian secara percuma kepada mereka yang telah pun menerima pasport bagi tempoh 10 tahun enam bulan.
“Bagi yang 10 tahun genap tak ada masalah. Maksudnya, tempoh dari tarikh dikeluarkan sehingga tarikh tamat itu tepat 10 tahun, jadi tiada masalah untuk melakukan perjalanan.
“Pemberhentian tempoh lebih 10 tahun juga hanya sementara sehingga pemakluman terbaharu daripada syarikat penerbangan terbabit,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau turut menafikan dakwaan bahawa PMA tidak diterima oleh negara lain susulan tindakan tempoh sah laku melebihi 10 tahun dihentikan.
“Isu kedua yang menjadi kekeliruan, seolah-olah pasport kita tidak diterima oleh negara lain. Ini tidak betul di mana sebenarnya kita tak ada masalah penerimaan dengan pihak negara luar.
“Semua negara menerima paspport kita walaupun tempohnya melebihi 10 tahun, itu asasnya. Yang mempunyai masalah sekarang adalah dua syarikat penerbangan dan kita tidak mahu salahkan mana-mana pihak kerana sistem yang digunakan pakai mereka adalah global,” ujarnya.
Tambah Zakaria, pihaknya telah merujuk perkara itu kepada pihak International Civil Aviation Organization (ICAO) dan maklum balas diterima tidak menghalang pelaksanaan tempoh PMA melebihi 10 tahun. – MalaysiaGazette
















