IPOH — Malaysia bakal melakar satu lagi detik bersejarah dalam pembangunan sukan Para Hoki apabila Pasukan Para Hoki ID (Intellectual Disability) Malaysia akan membuat penampilan pada FIH Para Hockey ID World Cup 2026 yang julung kali dianjurkan di Belgium dan Belanda dari 20 hingga 25 Ogos 2026.
Seramai 10 pemain telah dipilih secara rasmi bagi mewakili Kontinjen Malaysia ke kejohanan berprestij tersebut, kata kenyataan Pasukan Olimpik Khas Perak.
Pemilihan pemain dibuat berdasarkan prestasi, komitmen dalam latihan, disiplin serta kelayakan atlet untuk mewakili negara di pentas antarabangsa.
Pasukan Para Hoki ID Malaysia berada di bawah bimbingan Persatuan Olimpik Khas Malaysia dengan kerjasama Persatuan Olimpik Khas Perak dalam usaha menyediakan serta menguruskan penyertaan pasukan ke kejohanan tersebut.
Proses pemilihan pemain telah dimulakan sejak Disember 2025 manakala pemain yang terpilih telah menjalani latihan pusat secara bulanan di Ipoh, Perak sebagai sebahagian daripada persiapan menghadapi kejohanan dunia tersebut.
Kejohanan akan menghimpunkan 16 pasukan terbaik dunia dan menjadi platform penting bagi memperlihatkan keupayaan atlet Malaysia dalam sukan Para Hoki kategori Intellectual Disability di peringkat antarabangsa.
Lebih istimewa, kejohanan sulung ini akan berlangsung bersama-sama Kejohanan Piala Dunia Hoki Lelaki dan Wanita di lokasi yang sama, iaitu Belgium dan Belanda.
Malaysia akan beraksi dalam Pool B bersama tujuh pasukan lain, iaitu Netherlands, Argentina, England, Sepanyol, India, Chile dan
Bulgaria.
Pasukan Malaysia dijadualkan berlepas ke Eropah pada 17 Ogos ini sebelum memulakan kempen kejohanan dengan menentang Bulgaria dalam perlawanan pertama di Belanda.
Penyertaan Malaysia pada kejohanan itu merupakan satu pencapaian bersejarah kerana FIH Para Hockey ID World Cup 2026 merupakan edisi pertama kejohanan tersebut.
Penyertaan juga mencerminkan komitmen Malaysia dalam memperkasakan pembangunan atlet Intellectual Disability serta membuka ruang kepada mereka untuk beraksi dan membuktikan keupayaan di pentas antarabangsa.
Dengan kerjasama Raja Ashman Shah AHF-MHC Hockey Academy, satu Majlis Penyerahan Bendera akan diadakan di Royal Perak Golf Club dan akan disempurnakan oleh Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah. – MalaysiaGazette
















