KUALA LUMPUR – Sikap tidak mudah mengaku kalah menjadi antara faktor utama kejayaan Skuad Senior Lelaki Kebangsaan mengikat Afrika Selatan 3-3 dalam aksi terakhir klasifikasi Kumpulan H, FIH Hoki Piala Dunia 2026 di Arena Hoki Belfius semalam.
Apa yang membanggakan adalah jaringan di saat-saat akhir Faizal Saari pada minit ke-60 menjadi reaksi balas sempurna daripada Speedy Tigers selepas tewas kepada Ireland dalam aksi sebelum ini.
Ketua Jurulatih, Brendon Carolan percaya banyak aspek positif boleh diambil daripada aksk itu walaupun mereka terlepas ke penentuan tempat ke-11 dan 12 disebabkan keputusan seri tersebut.
“Jelas sekali kami mahukan tiga mata, itu adalah matlamat utama. Kami mahu meletakkan diri kami dalam playoff tempat ke-11 dan ke-12 dan melihat keputusan perlawanan Ireland-Perancis.
“Namun, melepaskan gol kedua yang mudah hari ini adalah sangat mengecewakan bagi kami. Mungkin kami terlalu longgar pada separuh masa pertama yang membolehkan mereka kembali dalam perlawanan.
“Ireland dan Afrika Selatan adalah pasukan yang bagus, dalam final Piala Negara-Negara, mereka seri dengan Australia dan kalahkan Perancis. Jadi, pasukan ini semakin baik. Kami cuma mahu cuba untuk mencapai kemenangan,” katanya dalam satu kenyataan.
Afrika Selatan yang muncul naib juara Piala Negara-Negara 2025-26, meraih tiga gol menerusi Luke Wynford pada minit ke-17, Nicholas Spooner (m-28) dan Mustaphaa Caasiem (m-43).
Tiga gol Speedy Tigers pula diperoleh menerusi dua jaringan Azrai Aizad Abu Kamal pada minit ke-14 dan 22 serta satu daripada Faizal Saari di penghujung perlawanan.
Biar pun masih ada kelemahan tetapi Carolan merasakan prestasi Speedy Tigers semakin meningkat dalam setiap perlawanan, sekali gus memberi petanda positif ke Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 bermula 19 September ini.
“Ini adalah program jangka panjang untuk memastikan kami bertambah baik menentang pasukan ke-10 hingga ke-16 dunia dan merapatkan jurang dengan 10 pasukan terbaik dunia,” jelasnya. – MalaysiaGazette
















