KUALA LUMPUR – Seorang lelaki parah selepas ditetak menggunakan parang dan objek menyerupai pistol dalam kejadian pergaduhan melibatkan sekumpulan lelaki berhampiran sebuah stesen minyak di Jalan Bukit Kemuning, Batu 8, Sri Muda, Shah Alam.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Sarudin Samah berkata, mangsa yang berusia 38 tahun itu cedera parah di tangan kiri dalam kejadian sekitar jam 11 pagi.
“Mangsa kini sedang menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kes sedang disiasat mengikut 148 Kanun Keseksaan, Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan Seksyen 8 Akta Senjata 1960.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat lanjut boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Asisten Superintendan Shamsiah Noor Zakaria di talian 012-8308706,” ujarnya. – MalaysiaGazette
















