Tangkap layar video tular premis yang dilanda banjir kilat di Puncak Alam hari ini.

SHAH ALAM – Beberapa kawasan di Puncak Alam dinaiki air selepas hujan lebat kira-kira sejam pada tengah hari tadi, dengan air sedalam kira-kira 0.3 meter direkodkan di Jalan Persiaran Puncak Alam 6.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Ashrul Riezal Asbar berkata pemantauan risiko banjir dilakukan enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bestari Jaya di kawasan berkenaan pada 3.45 petang.

Beliau berkata hasil pemantauan mendapati berlaku limpahan air di atas permukaan jalan dengan kedalaman kira-kira 0.3 meter (satu kaki), namun tiada pemindahan penduduk dilakukan.

Tangkap layar video kawasan yang dilanda banjir kilat di Puncak Alam hari ini.

Sementara itu, tinjauan dalam media sosial mendapati beberapa pengguna berkongsi situasi banjir kilat di kawasan Puncak Alam susulan hujan lebat berkenaan.

Pengguna Threads dengan nama akaun dayangd_na berkongsi video keadaan di sebuah kawasan perumahan di Puncak Alam dan memaklumkan air mula naik selepas hujan lebat kira-kira sejam.

“Tak pernah lah banjir baru hujan lebat sejam lebih terus naik air. Nervous kejap sebab risau kereta di luar. Orang-orang Puncak Alam yang lain okey tak tu?,” katanya.

Seorang lagi pengguna, _xmmmmmmmm, berkongsi gambar keadaan banjir di Jalan Medan Puncak Alam serta memaklumkan beliau terpaksa membuat pusingan U selepas beberapa laluan di kawasan berkenaan dinaiki air.

Turut dikongsikan pengguna Threads akhrim_abs_official ialah video yang menunjukkan air memasuki sebuah pusat jualan kereta di Jalan Persiaran Puncak Alam. — BERNAMA

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here