Gambar hiasan

Oleh: Profesor Madya Ts. Dr. Zul Ilham Zulkiflee Lubes

KITA kini memasuki suku ketiga 2026, dan perubahan corak cuaca semakin dirasai. Menurut Pertubuhan Meteorologi Sedunia (WMO), fenomena El Nino mula terbentuk pada pertengahan tahun ini dan dijangka semakin menguat dengan anomali suhu permukaan Lautan Pasifik berpotensi mencecah 2.9°C menjelang penghujung tahun.

Walaupun El Nino berlaku di Lautan Pasifik, kesannya boleh dirasai merentasi sempadan, termasuk di Malaysia, dengan kemungkinan taburan hujan berkurangan serta suhu yang lebih panas.

El Nino ialah fenomena pemanasan luar biasa permukaan laut di bahagian tengah dan timur Lautan Pasifik Khatulistiwa yang mempengaruhi pola angin, pembentukan awan dan taburan hujan di seluruh dunia. Untuk rantau Asia Tenggara termasuk Malaysia, lazimnya cuaca akan bertambah panas dan kering.

Bagi negara kita yang bergantung kepada hujan untuk bekalan air, pertanian dan perkhidmatan ekosistem, fenomena ini tidak boleh dipandang remeh. Peningkatan suhu juga boleh meningkatkan penggunaan air dan elektrik tetapi risiko dan tempoh fenomena ini dijangka berbeza mengikut kawasan, lembangan sungai dan sektor ekonomi.

Persoalannya sekarang bukanlah sama ada fenomena ini akan berlaku atau tidak, tetapi sama ada negara dan masyarakat bersedia untuk mendepani fasa El Nino yang lebih kuat tidak lama lagi. Istilah “Super El Nino” dan “El Nino Gergasi” yang sering digunakan dalam media juga perlu digunakan secara berhati-hati kerana ia bukanlah istilah rasmi yang digunakan oleh badan meteorologi antarabangsa.

Walau bagaimanapun, apa yang lebih penting ialah bukanlah istilah yang digunakan, tetapi risiko sebenar yang perlu diuruskan. Di negara jiran kita, Indonesia, langkah awal telah dijalankan bagi mengelakkan berlakunya kebakaran tanah paya gambut akibat cuaca panas melampau dengan membina jaringan terusan kecil dan menyelaras pasukan pencegah kebakaran sukarelawan di kawasan yang berisiko tinggi.

Di Thailand, para petani telah diberikan jadual penanaman berkala untuk mengelakkan penanaman tanaman padi yang menggunakan air secara intensif dan menggantikannya dengan ubi kayu dan jagung. Australia pula memperkenalkan aplikasi platform digital “Get Prepared” bagi memudahkan informasi risiko kebakaran, bantuan kecemasan dan laluan evakuasi disebarkan kepada masyarakat.

Tindakan seperti ini harus dilaksanakan bagi mengelakkan kebakaran tanah pertanian dan paya gambut terutamanya di utara Thailand, kepulauan Sumatera dan Kalimantan yang boleh meningkatkan risiko jerebu merentas sempadan. Sekiranya berlaku, ia boleh memberikan tekanan kepada sektor pelancongan dan diplomasi antara negara yang terkesan.

Menurut kajian terkini para penyelidik di Pusat Kajian Sains dan Alam Sekitar, El Nino yang kuat boleh membawa cuaca lebih kering, gelombang haba dan kemarau, selain tekanan ekonomi lebih-lebih lagi kepada komuniti isi rumah berpendapatan rendah yang sedang berdepan dengan isu-isu sosial yang lain.

Sungguhpun fenomena El Nino ini tidak dapat dihentikan, kita boleh mengurangkan kesannya kepada manusia dan ekosistem alam sekitar. Inilah masanya untuk negara menyelaras data laporan ramalan cuaca dengan tepat bagi membolehkan pelan kesiapsagaan kesihatan, bekalan air, makanan serta bencana kebakaran hutan dan jerebu disediakan dengan lebih awal.

Di peringkat negeri dan pihak berkuasa bekalan air, audit paras serta kapasiti air haruslah dilaksanakan termasuk pengurangan kadar air tidak berhasil, perlindungan kawasan tadahan air serta pelan catuan bersasar sekiranya diperlukan. Untuk sektor perniagaan, pelan kesinambungan operasi dan penyesuaian waktu bekerja sekiranya berlaku cuaca terlalu panas, bencana, gangguan bekalan air, elektrik atau rantaian bekalan sudah boleh mula difikirkan.

Sektor pertanian, yang dijangka mengalami kesan paling teruk, perlu bersedia dengan
bantuan awal kepada petani dan penternak selain memperkenalkan tanaman alternatif yang kurang memerlukan air. Ini adalah kerana dua komoditi utama di rantau Asia Tenggara iaitu padi dan kelapa sawit adalah amat rentan terhadap anomali iklim.

Di sektor kesihatan, amaran strok haba, pemantauan wabak denggi dan persiapan fasiliti kesihatan bagi menerima pesakit perlulah dipertingkatkan lebih-lebih lagi jika cuaca yang terlalu panas menyebabkan kebakaran hutan dan seterusnya jerebu.

Sebagai rakyat pula, kita hendaklah menggunakan air dan elektrik secara berhemat bagi mengelakkan pembaziran dan sentiasa cakna dengan informasi Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) serta amaran pihak berkuasa. Institusi seperti sekolah, masjid dan rumah ibadah bolehlah menyampaikan pendidikan mengenai penjagaan air dan amalan pengurusan sumber terbaik.

Bagi umat Islam, pengurusan sumber ialah satu amanah dan larangan melakukan pembaziran adalah amat relevan ketika sumber air dan makanan mengalami tekanan. Nilai menghargai alam, penggunaan sumber secara berhemah dan menghindari pembaziran ini juga dikongsi pelbagai agama, kepercayaan dan tradisi kemanusiaan yang boleh menjadi asas penyatuan tatkala berdepan dengan fenomena El Nino.

Melalui ilmu, perancangan dan tindakan awal, adalah diharapkan bahawa dampak El Nino kepada masyarakat dapat diuruskan dengan baik. Kos penyediaan sistem informasi dan amaran awal, perlindungan sumber air dan bantuan kepada golongan rentan sebelum krisis sudah pastilah lebih rendah daripada kos pemulihan selepas sesuatu bencana. Oleh itu, persediaan awal hendaklah dilakukan sebelum air di empangan susut atau jerebu sudah menerjah di udara. Inilah manifestasi sebenar amanah, ikhtiar dan tanggungjawab kita bersama.

Penulis ialah Felow Utama dan Pengarah Pusat Kajian Sains dan Alam Sekitar di Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast