KUALA LUMPUR – Jualan tiket aksi separuh akhir pertama Piala Hyundai ASEAN 2026 yang menyaksikan Harimau Malaya bakal turun berdepan Vietnam di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur malam esok dikatakan ‘sendu’ ketika ini.
Ini kerana dilaporkan hanya 3,563 keping tiket baharu terjual setakat semalam berbanding aksi terakhir peringkat Kumpulan B menentang Filipina sebelum ini apabila tiket perlawanan berkenaan habis terjual sebelum perlawan di mana stadium dibanjiri penyokong,
Stadium Bolasepak Kuala Lumpur mampu memuatkan kira-kira 18,000 penonton aksi aksi perlawanan domestik dan antarabangsa.
Baru-baru ini, peminat bola sepak di media sosial mempersoalkan kenaikan harga tiket kategori Terbuka bagi aksi separuh akhir itu yang meningkat hampir 70 peratus berbanding perlawanan peringkat kumpulan.
Berdasarkan pengumuman Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), tiket kategori Terbuka bagi dewasa dijual pada harga RM50 berbanding RM30 ketika aksi peringkat kumpulan sebelum ini.
FAM memaklumkan penetapan harga berkenaan dibuat selepas mengambil kira beberapa faktor termasuk kos penganjuran, operasi dan keselamatan, pengurusan venue serta keperluan teknikal pertandingan.
Bagi pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe, dia tidak melihat jualan tiket yang perlahan itu sebagai sesuatu yang perlu dibimbangkan, sebaliknya percaya penyokong tetap akan hadir memberikan sokongan kepada pasukan. – MalaysiaGazette

















