Biro Politik Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz bercakap kepada media ketika hadir pada Kongres Nasional Keadilan 2026 di Melaka International Trade Center (MITC), Ayer Keroh. Foto MOHD ADZLAN, 15 OGOS 2026.

KUALA LUMPUR – Perjuangan reformasi perlu diterjemahkan kepada hasil yang dapat dilihat dan dirasai rakyat, kata Penasihat Kanan Politik kepada Perdana Menteri Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Beliau berkata walaupun pelbagai inisiatif telah dilaksanakan Kerajaan MADANI, masih banyak usaha perlu dilakukan bagi memastikan manfaatnya dinikmati seluruh lapisan masyarakat.

“Angka yang baik perlu diikuti dengan limpahan yang dirasai segenap rakyat. Ekonomi negara berkembang enam peratus, mengatasi semua ramalan tetapi kita perlu pastikan rakyat mendapat nikmatnya,” katanya menerusi hantaran di Facebook malam tadi.

Beliau berkata sesi perbahasan pada Kongres Nasional PKR 2026 di Melaka semalam secara keseluruhan selari dengan nada dan mesej utama ucapan dasar Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Kongres bertemakan “Memugar Reformasi, Membina MADANI” itu berlangsung selama dua hari di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh.

Tengku Zafrul berkata gerak kerja komunikasi juga perlu dipertingkat supaya rakyat mengetahui pelbagai inisiatif dan hasil kerja Kerajaan MADANI.

“Panjang senarai inisiatif dan hasil kerja Kerajaan MADANI yang dikongsikan Presiden tadi, tetapi gerak kerja komunikasi kita juga perlu diperhebat agar rakyat tahu tentangnya. Jika rakyat tak tahu, itu bukan salah rakyat. Itu kelemahan penyampaian kita sendiri,” katanya.

Beliau berkata antara perkara yang disebut Anwar ialah pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU), usaha membaik pulih institusi penting rakyat seperti Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) serta beberapa inisiatif ekonomi dalam Belanjawan kelak.

Tengku Zafrul berkata perkara itu menunjukkan Kerajaan MADANI, khususnya PKR, menyedari bahawa perjuangan dan usaha untuk rakyat masih jauh daripada selesai.

“Saya yakin, dengan pendekatan ini, ditambah pula dengan penambahbaikan gerak kerja dan solidariti parti, insya-Allah kita akan dapat memenangi kepercayaan rakyat untuk terus melaksanakan agenda segar, demi rakyat,” katanya.

Beliau berkata kekuatan PKR bergantung pada kesediaan parti untuk mendengar dengan lebih baik dan memperkukuh jentera bagi memastikan perjuangan reformasi memberikan hasil nyata kepada rakyat. – BERNAMA

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here