AYER KEROH – Laungan `Reformasi’ tidak seharusnya terhenti selepas Parti Keadilan Rakyat (PKR) menjadi sebahagian daripada kerajaan kerana perjuangan itu bukan sekadar untuk menukar siapa yang menduduki kerusi pemerintahan, sebaliknya mengubah cara negara ditadbir.
Naib Presiden PKR, Datuk Seri Zaliha Mustafa berkata, persoalan mengapa masih melaungkan Reformasi dan slogan ‘Lawan Tetap Lawan’ selepas berada di Putrajaya perlu dijawab dengan memahami semula matlamat perjuangan yang dibawa parti sejak 27 tahun lalu.
“Sejak bila laungan `Reformasi’ itu hanya slogan untuk masuk ke Putrajaya?
“Kalau perjuangan selama 27 tahun kita ini hanya bertujuan menukar siapa yang duduk di kerusi kerajaan, maka perjuangan kita itu terlalu kecil.
“Matlamat utama kita adalah untuk ubah cara negara ini ditadbir,” katanya ketika sesi penggulugan di kongres Nasional Keadilan 2026 di MITC, di sini, hari ini.
Menurut Zaliha, perjuangan `Reformasi’ yang dahulu diperjuangkan dari luar kerajaan kini perlu diterjemahkan melalui tindakan apabila parti sudah berada dalam kerajaan.
Katanya, tanggungjawab itu termasuk memperkukuh institusi dan tata kelola, membanteras rasuah serta salah guna kuasa, selain memastikan keadilan dapat dirasai rakyat.
“Dulu, kita menuntut reformasi. Hari ini, apabila kita jadi kerajaan, kita bertanggungjawab melaksanakannya dengan cara memperkukuh institusi dan tata kelola, membanteras rasuah dan salah guna kuasa, serta memastikan keadilan sampai kepada rakyat.
“Dan kalau kelemahan-kelemahan ini muncul dalam kalangan kita sendiri, kita juga mesti berani menegur dan memperbetulkannya,” ujarnya.
Beliau berkata, kedudukan sebagai kerajaan tidak seharusnya menyebabkan semangat reformasi ditinggalkan, sebaliknya menjadi lebih penting untuk memastikan prinsip yang diperjuangkan selama ini terus dilaksanakan.
Zaliha menegaskan, reformasi bukan sekadar slogan untuk mendapatkan kuasa, tetapi satu perjuangan untuk memastikan pentadbiran negara lebih baik, adil dan berintegriti. – MalaysiaGazette
















