AUKU mengalami tujuh perubahan atau pindaan sepanjang 52 tahun kewujudannya.

Oleh: Profesor Madya Dr. Shahrul Mizan Ismail

KELEMAHAN Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 sebenarnya lebih kritikal daripada sekadar tentang kebebasan mahasiswa bersuara. Kekangannya terhadap warga akademik sebenaranya bersifat dwilapis, di mana akta tersebut membisu perihal soal jaminan kebebasan akademik sebagai hak, tetapi lantang memusatkan kuasa eksekutif yang mengekangnya. Undang-undang yang meminggirkan hak pencarian kebenaran demi sebuah kawalan mutlak bukanlah piagam kemerdekaan cendiakawan.

Struktur hegemoni ini termaktub jelas dalam peruntukan AUKU. Seksyen 3 dan 4, yang memberi Menteri kuasa prerogatif untuk menentukan “pengarahan am” dan menyiasat hal ehwal universiti. Seksyen 8 pula mengikat tataurus universiti kepada acuan kerangka yang tegar. Natijahnya, kuasa melantik Naib Canselor, Timbalan Naib Canselor, dan majoriti komposisi Lembaga Pengarah kekal di tangan Menteri, sekali gus menafikan autonomi institusi pengajian tinggi awam sebagai pusat pemikiran dan penggerak masyarakat.

Walaupun wujud Seksyen 24(8)(h) yang memandatkan Senat menggubal dasar kebebasan akademik, ia sekadar instrumen pengurusan, bukan hak substantif. Ketiadaan takrifan perundangan, ketiadaan klausa antitindak balas, dan ketiadaan remedi menjadikan ahli akademik terus terdedah kepada hukuman sekiranya pandangan ilmiah mereka tidak selari dengan naratif pihak berkuasa.

Institusi kehakiman telah berulang kali memberikan teguran terhadap campur tangan yang melampau ini. Mahkamah Rayuan dalam Muhammad Hilman Idham lwn Kerajaan Malaysia [2011], membatalkan versi terdahulu, kekangan Seksyen 15(5)(a) kerana mencabuli hak kebebasan bersuara (Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan). Mahkamah Persekutuan menerusi kes Sivarasa Rasiah [2010] dan mutakhir ini, dalam kes Amir Hariri lwn Pendakwaraya, turut memahatkan prinsip keperkadaran (proportionality), dan menegaskan bahawa sebarang sekatan undang-undang tidak boleh melampaui batas keperlembagaan.

Namun, pemansuhan AUKU semata-mata tidak akan memerdekakan warga akademik selagi Akta Badan-Badan Berkanun (Tatatertib dan Surcaj) 2000 [Akta 605] tidak dirombak. Peraturan 18 di bawah akta ini secara mutlak melarang penjawat universiti daripada menyuarakan kritikan yang didakwa “memudaratkan atau memalukan kerajaan”. Keperluan mendapatkan kelulusan rasmi merendahkan martabat epistemologi sarjana, daripada penggerak paksi “pencari kebenaran”, kepada sekadar “pemohon kebenaran”.

Justeru, bagi memastikan reformasi ini tulen, kerangka akta baharu wajib bersandarkan tujuh teras berikut:

  1. Jaminan Statutori: Mengiktiraf kebebasan mengajar, menyelidik, menerbit, dan mengkritik sebagai hak mutlak undang-undang.
  2. Klausa Anti-Tindak Balas: Melarang tapisan awal (*prior restraint*) dan sebarang bentuk hukuman terhadap ekspresi akademik.
  3. Ujian Keperlembagaan: Memastikan semua dasar sekatan mematuhi ujian kemunasabahan dan keperkadaran.
  4. Pensejajaran Akta 605: Mengecualikan ahli akademik daripada belenggu tatatertib penjawat awam konvensional secara serentak.
  5. Pendemokrasian Senat: Memulangkan kuasa akademik kepada Senat yang majoriti ahlinya diundi secara demokratik.
  6. Pengehadan Kuasa Eksekutif: Membataskan campur tangan Menteri dalam pelantikan pentadbir utama universiti.
  7. Remedi Perundangan: Mewujudkan Ombudsman Pendidikan Tinggi dan menjamin ketersediaan hak semakan kehakiman.

Menyoroti Syor UNESCO 1997, kebebasan akademik dan autonomi institusi bersifat simbiotik. Kebebasan ini bukanlah tiket kekebalan daripada etika profesional; salah laku seperti plagiarisme dan pemalsuan data tetap merupakan jenayah intelektual. Namun, harus ditegaskan: perbezaan pandangan dengan kerajaan mahupun pengurusan universiti bukanlah salah laku akademik.

Sekiranya AUKU dimansuhkan, tetapi hegemoni Menteri, cengkaman Peraturan 18 Akta 605, dan ketiadaan remedi perundangan terus dikekalkan, usaha ini tidak lebih daripada sebuah retorik. Ia bukanlah sebuah reformasi undang-undang, sebaliknya hanya penjenamaan semula yang dangkal dan kosmetik.

 

Penulis dari Fakulti Undang-Undang, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here