Oleh: Ismail Hashim Yahaya
SEJAK laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Lembaga Tabung Haji didedahkan kepada umum, sesuatu yang menarik berlaku dalam ruang politik dan media sosial Malaysia. Perbahasan tidak lagi semata-mata tertumpu kepada apakah
yang sebenarnya ditemukan oleh RCI, mengapa kelemahan itu berlaku, siapa yang perlu bertanggungjawab dan apakah pembaharuan yang mesti dilakukan supaya perkara sama tidak berulang. Sebaliknya, muncul satu demi satu persoalan baharu
yang perlahan-lahan mengalihkan pusat perhatian.
Mengapa laporan itu mengambil masa begitu lama untuk didedahkan? Mengapa perkara lama mahu dibangkitkan semula? Tidakkah pendedahan sebegini menjatuhkan maruah Melayu dan institusi Islam? Bagaimana pula dengan Urusharta Jamaah? Siapa mendapat keuntungan daripada aset Tabung Haji? Apa yang berlaku terhadap aset tersebut selepas pertukaran kerajaan pada 2018?
Semua pertanyaan ini tidak semestinya salah. Bahkan sebahagiannya sangat wajar ditanyakan. Persoalan mengapa laporan RCI mengambil masa yang panjang untuk didedahkan merupakan persoalan pertanggungjawaban yang sah.
Begitu juga dengan Urusharta Jamaah Sdn Bhd (UJSB). Rakyat berhak mengetahui bagaimana aset Tabung Haji dipindahkan, bagaimana ia dinilai, bagaimana prestasinya selepas dipindahkan dan apakah implikasinya terhadap kerajaan serta pendeposit.
Masalahnya bukan pada pertanyaan. Masalah bermula apabila setiap pertanyaan baharu menggantikan pertanyaan sebelumnya sehingga persoalan asal semakin hilang daripada perhatian. Maka di sinilah muncul apa yang boleh disebut sebagai
kreativiti pengalihan naratif.
Dalam politik pengalihan naratif, seseorang tidak semestinya perlu menjawab pertanyaan yang sukar. Kadangkala cukup dengan menghasilkan pertanyaan lain yang lebih menarik, lebih emosional dan lebih mudah disebarkan daripada pertanyaan asal.
Apabila ditanya mengenai dapatan RCI, persoalan beralih kepada mengapa laporan baru sekarang didedahkan. Kemudian muncul persoalan tentang Urusharta Jamaah. Selepas itu siapa memperoleh keuntungan. Kemudian maruah Melayu dan institusi
Islam. Akhirnya masyarakat mempunyai begitu banyak perkara untuk diperdebatkan sehingga terlupa apakah persoalan yang memulakan keseluruhan perbahasan.
Inilah yang dinamakan kabut naratif. Kabut naratif tidak semestinya terhasil daripada satu pembohongan besar. Ia boleh terbentuk daripada puluhan persoalan, separuh fakta, kecurigaan, andaian, video pendek, keratan kenyataan dan permainan emosi yang beredar serentak sehingga masyarakat kehilangan pusat persoalan.
Kreativiti pengalihan ini juga tidak hanya hadir melalui bahasa. Ia boleh muncul melalui tindakan politik yang mempunyai kekuatan simbolik. Tindakan walkout ketika Sidang Khas Dewan Rakyat mengenai RCI Tabung Haji merupakan contoh menarik. Pembangkang mempunyai alasan mereka. Mereka mempersoalkan ketidakhadiran perdana menteri dan menegaskan mereka bukan datang sekadar untuk mendengar taklimat; mereka mahukan penyelesaian. Kedua-dua tuntutan itu boleh
diperdebatkan dan tidak sewajarnya diketepikan begitu sahaja.
Namun walkout menghasilkan satu paradoks. Jika mahukan penyelesaian, mengapa meninggalkan ruang tempat penyelesaian itu sepatutnya dituntut? Jika taklimat dianggap tidak memadai, kekallah di Dewan dan tuntut lebih daripada taklimat. Tanyakan syor mana yang telah dilaksanakan. Desak penjelasan mengenai syor yang belum dilaksanakan. Tuntut garis masa. Persoalkan kelemahan kerajaan.
Jika jawapan tidak memuaskan, sanggah sehingga kerajaan terpaksa menjawab. Persoalannya bukan sama ada pembangkang mempunyai hak untuk walkout. Mereka mempunyai hak menggunakan tindakan tersebut sebagai bentuk protes politik. Persoalannya ialah makna yang dihasilkan oleh tindakan tersebut.
Secara semiotik, walkout mempunyai kekuatan visual yang jauh lebih besar daripada perbahasan teknikal mengenai RCI. Sekumpulan ahli Parlimen bangun dan meninggalkan Dewan menghasilkan imej yang mudah dirakam, dipotong menjadi
video pendek, diberikan kapsyen dan diedarkan melalui media sosial.
Dalam beberapa minit, pusat perhatian boleh berubah. Daripada “apakah dapatan RCI?” kepada “mengapa Perdana Menteri tidak hadir?” Daripada “siapa perlu bertanggungjawab?” kepada “mengapa pembangkang keluar Dewan?” Daripada “apakah pembaharuan yang diperlukan?” kepada “kami bukan mahu taklimat, kami mahu penyelesaian.” Akhirnya drama tindakan boleh mengatasi substansi laporan.
Ini tidak membuktikan mereka yang keluar Dewan berniat mengelakkan RCI. Niat seperti itu tidak boleh ditentukan tanpa bukti. Tetapi kesan komunikasinya boleh dianalisis: tindakan simbolik telah mengubah pusat keterlihatan daripada kandungan laporan kepada drama politik di sekeliling laporan.
Namun kabut naratif bukan sekadar menghasilkan kekeliruan. Ia mempunyai fungsi politik yang lebih strategik. Pertama, pengalihan naratif boleh mengubah medan pertempuran. Selagi perbahasan kekal pada kandungan RCI — tadbir urus, keputusan pelaburan, pertanggungjawaban dan pembaharuan — mereka yang dikaitkan dengan tempoh atau keputusan yang dipersoalkan perlu berhadapan dengan medan fakta.
Tetapi apabila persoalan dialihkan kepada “mengapa baru sekarang?”, “maruah Melayu”, Urusharta Jamaah atau siapa mendapat keuntungan, medan berubah daripada “apa yang berlaku?” kepada “mengapa kerajaan melakukan pendedahan
ini?”. Perubahan itu membolehkan kedudukan defensif berubah menjadi ofensif.
Dalam komunikasi politik, berada dalam keadaan sentiasa menjawab tuduhan tidak menguntungkan. Lebih berkesan jika pihak yang sedang dituntut memberikan penjelasan berjaya mencipta persoalan baharu sehingga pihak lawan pula perlu
menjawab. Maka pihak yang sepatutnya menjawab akhirnya menjadi pihak yang bertanya. Inilah kekuatan politik menukar soalan.
Lebih menarik apabila pengalihan tersebut bersentuhan dengan naratif Melayu-Islam. Jika pendedahan kelemahan sebuah institusi dilihat bercanggah dengan imej politik pihak yang selama ini membawa slogan mempertahankan kepentingan Melayu-Islam, objek yang perlu dipertahankan boleh dialihkan.
Malah apa yang dipertahankan bukan lagi keputusan tertentu atau kelemahan tadbir urus. Sebaliknya, yang diletakkan di hadapan ialah maruah kolektif Melayu dan Islam. Secara semiotik, perubahan ini sangat berkuasa. Kritikan terhadap pengurusan sebuah institusi boleh berubah makna menjadi seolah-olah kritikan terhadap Melayu. Pendedahan kelemahan tadbir urus boleh dipersembahkan sebagai usaha memalukan institusi Islam.
Apabila perubahan makna ini berjaya dilakukan, fakta tidak lagi berhadapan dengan fakta. Fakta berhadapan dengan identiti dan identiti mempunyai kekuatan emosi yang jauh lebih besar. Tetapi apakah mendedahkan kelemahan sebuah institusi Melayu-Islam bermaksud menjatuhkan maruah Melayu? Saya melihatnya secara terbalik.
Maruah Melayu tidak jatuh kerana kebenaran didedahkan. Maruah Melayu tercalar apabila nama Melayu digunakan sebagai benteng supaya kebenaran tidak boleh diperiksa. Institusi Melayu-Islam tidak menjadi kuat kerana kelemahannya disembunyikan. Ia menjadi kuat apabila berani melakukan muhasabah, memperbaiki kesilapan dan mempertanggungjawabkan mereka yang melakukan kesalahan.
Bukankah amanah merupakan nilai asas Islam? Begitu juga dengan Urusharta Jamaah. Pertanyaan mengenainya tetap sah. Bagaimana aset dinilai? Bagaimana prestasinya selepas dipindahkan? Apakah pulangannya? Apakah kos kepada
kerajaan? Siapa memperoleh manfaat dan siapa menanggung risiko?
Jika terdapat keputusan yang salah dalam mana-mana pentadbiran, bongkarkan. Namun prinsip yang sama mesti dikenakan kepada semua. Satu kesalahan tidak memadamkan kesalahan yang lain. Satu pertanyaan tidak membatalkan pertanyaan yang lain. Pengalihan naratif juga tidak semestinya perlu membuat masyarakat mempercayai satu cerita alternatif. Kadangkala memadai dengan menghasilkan keraguan.
Tidak perlu meyakinkan rakyat bahawa keseluruhan RCI salah. Cukup membuat mereka terus bertanya: mengapa sekarang? Ada agenda politikkah? Bagaimana dengan kerajaan lain? Siapa sebenarnya mendapat keuntungan? Apabila terlalu banyak versi beredar, sebahagian masyarakat akhirnya mungkin berkata: “Entahlah, semuanya sama sahaja.” Pada saat itu keyakinan terhadap fakta mula merosot. Pertanggungjawaban menjadi kabur dan masyarakat kehilangan keupayaan menentukan persoalan mana yang perlu dijawab terlebih dahulu.
Inilah kemenangan terbesar kabut naratif. Dalam zaman media sosial, kabut tersebut mempunyai nilai politik kerana algoritma lebih mudah menggerakkan emosi daripada penjelasan teknikal. Kemarahan, ketakutan, identiti dan perasaan bahawa kelompok sendiri sedang diserang mempunyai kemampuan mobilisasi yang jauh lebih tinggi berbanding perbahasan panjang mengenai tadbir urus, audit atau struktur pelaburan. “Maruah Melayu terancam” lebih mudah bergerak daripada perbahasan mengenai pembaharuan tadbir urus.
Begitu juga walkout. Walkout menghasilkan gambar. Slogan “kami mahu penyelesaian” menghasilkan klip. Konflik menghasilkan keterlibatan. RCI pula menghasilkan dokumen. Dalam politik algoritma, dokumen sering kalah kepada drama. Di sinilah kreativiti pengalihan naratif bertemu algoritma emosi.
Naratif dipotong menjadi video, diberikan kapsyen, diulang oleh penyokong dan diedarkan melalui media sosial. Semakin emosional sesuatu naratif, semakin tinggi kemungkinannya mendapat perhatian. Akhirnya yang menang bukan semestinya naratif yang paling benar, tetapi naratif yang paling berjaya mempertahankan perhatian.
Semua ini juga mempunyai manfaat elektoral. Ini tidak bermaksud setiap tindakan atau kenyataan tersebut dirancang secara tersusun semata-mata untuk memenangi pilihan raya. Dakwaan demikian memerlukan bukti. Tetapi naratif yang mengaktifkan identiti, kemarahan dan rasa terancam mempunyai potensi mengukuhkan kesetiaan kelompok dan menggerakkan sokongan politik.
Pada mulanya terdapat laporan yang menuntut jawapan. Kemudian persoalan dialihkan. Pengalihan dibawa kepada identiti. Identiti mengaktifkan emosi. Emosi menghasilkan keraguan terhadap fakta. Keraguan membuka ruang kepada mobilisasi politik. Dengan itu, kreativiti pengalihan naratif bukan lagi sekadar seni mengelakkan soalan. Ia boleh menjadi seni menukar pertanggungjawaban menjadi modal politik. Namun kerajaan juga tidak boleh menggunakan RCI sebagai senjata politik sambil mengelakkan pertanggungjawabannya sendirI.
Jangan gunakan satu persoalan untuk memadam persoalan yang lain. Pada akhirnya, RCI Tabung Haji tidak sepatutnya menjadi pertandingan menentukan siapa paling Melayu, siapa paling Islam atau siapa paling kuat mempertahankan kerajaan atau pembangkang.
Ia sepatutnya menjadi proses mengembalikan amanah. Mempertahankan maruah Melayu bukan bermaksud mempertahankan setiap tindakan yang dilakukan atas nama Melayu. Mempertahankan Islam bukan bermaksud menyembunyikan kelemahan institusi Islam. Keberanian membongkar kesalahan, memperbaiki kelemahan dan menjaga wang umat itulah yang memberikan makna sebenar kepada maruah.
Kebenaran tidak menjatuhkan maruah Melayu. Apa yang menjatuhkan maruah ialah apabila nama Melayu digunakan untuk menghalang kita daripada mencari kebenaran. Dalam zaman politik algoritma, cabaran terbesar bukan lagi sekadar bagaimana menjawab sesuatu persoalan.
Cabarannya ialah memastikan masyarakat tidak terus dipindahkan daripada satu persoalan kepada persoalan lain sehingga akhirnya kita terlupa persoalan asal yang masih belum dijawab. Ini kerana dalam politik pengalihan naratif, kemenangan terbesar bukan apabila rakyat mempercayai jawapan kita. Kemenangan terbesar ialah apabila rakyat terlupa soalan yang sepatutnya kita jawab.

Penulis adalah pemerhati geopolitik dan hubungan antarabangsa dan mengulas perkembangan semasa daripada perspektif semiotik dan naratif.
















