PUTRAJAYA – Pengerusi DAP, Gobind Singh Deo mengakui masih banyak ruang untuk penambahbaikan dalam agenda reformasi selepas kira-kira tiga tahun setengah parti itu berada dalam Kerajaan Perpaduan.
Beliau berkata, DAP perlu menilai sama ada pembaharuan yang telah dilaksanakan setakat ini benar-benar mencukupi untuk memenuhi tuntutan rakyat serta memastikan perubahan yang dijanjikan dapat direalisasikan.
“Adakah pembaharuan-pembaharuan yang dibawa itu mencukupi?” soalnya ketika berucap pada Persidangan DAP 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, hari ini.
Menurut Gobind, DAP perlu melihat perkara yang boleh dipersetujui oleh semua parti dalam kerajaan supaya reformasi yang benar-benar diperlukan dapat dilaksanakan.
Katanya, tempoh tiga tahun setengah bukanlah masa yang panjang untuk sesebuah kerajaan melaksanakan perubahan besar, namun ia tetap cukup untuk menilai apa yang telah dicapai dan apa yang masih tertangguh.
Beliau berkata, keputusan beberapa pilihan raya negeri baru-baru ini juga tidak boleh dipandang ringan dan perlu menjadi asas kepada DAP untuk menimbang semula pendekatan serta hala tuju parti.
Antara perkara utama yang perlu diberi perhatian, katanya, ialah reformasi ekonomi bagi menangani cabaran dan tekanan yang dihadapi rakyat.
Gobind berkata, beliau menerima banyak aduan daripada masyarakat mengenai keadaan ekonomi dan langkah tambahan perlu diambil kerajaan untuk meringankan beban mereka.
Pada masa sama, beliau mengakui kestabilan politik yang diwujudkan Kerajaan Perpaduan telah membantu meningkatkan keyakinan pelabur antarabangsa terhadap Malaysia.
Katanya, kehadiran syarikat gergasi dunia dan peningkatan pelaburan menunjukkan Malaysia semakin mendapat perhatian sebagai destinasi ekonomi, manakala nilai ringgit juga menunjukkan perkembangan yang positif.
Bagaimanapun, Gobind menegaskan kestabilan politik dan pertumbuhan pelaburan perlu berjalan seiring dengan reformasi institusi bagi memastikan kelemahan sistem yang pernah berlaku sebelum ini tidak berulang.
Beliau berkata, DAP sebelum ini telah membangkitkan isu penyalahgunaan kuasa dan keperluan mengehadkan kuasa politik ketika berada dalam pembangkang, justeru agenda reformasi institusi perlu terus diberi perhatian. -MalaysiaGazette
















