KUALA LUMPUR – Setiap kali hujan, Aminah, 54, hanya mampu berharap rumah yang didiami bersama kakaknya terus bertahan meskipun sebahagian strukturnya semakin reput dan uzur.
Lebih memilukan, kediaman yang sepatutnya menjadi tempat berlindung itu kini tidak lagi memberikan rasa selamat kepada dua beradik berkenaan.
Pengerusi Eksekutif Yayasan Raja Shamri, Raja Shamri Raja Husin yang berkongsi dalam media sosialnya berkata, Aminah yang mengalami kemurungan selepas terbabit dalam satu kemalangan kini tinggal bersama kakaknya yang turut berdepan masalah kesihatan mental.
Dalam keadaan serba terbatas, mereka terpaksa berdepan pula dengan keadaan rumah yang semakin rapuh, termasuk kayu-kayu yang sudah reput.
Bagaimanapun, keluarga dan jiran tidak membiarkan mereka bersendirian apabila masing-masing membantu mengikut kemampuan, termasuk menguruskan makan minum serta keperluan harian.
Keprihatinan orang ramai turut membolehkan kerja-kerja baik pulih rumah itu dimulakan secara berperingkat.
“Ketika ini, kerangka beam sedang disiapkan sebagai persediaan untuk pemasangan atap bagi menjadikan kediaman berkenaan lebih kukuh dan selamat.
“Namun, kerja-kerja membaik pulih rumah itu masih memerlukan sokongan orang ramai untuk disiapkan.
Sehubungan itu, katanya, Yayasan Raja Shamri dan Thirdforce menyeru orang ramai yang berkemampuan untuk membantu keluarga berkenaan menerusi sumbangan yang boleh disalurkan ke akaun YAYASAN RAJA SHAMRI menerusi Bank Kerjasama Rakyat Malaysia (Bank Rakyat) di nombor akaun: 1102074345.
Sumbangan orang ramai diharap dapat membantu Aminah dan kakaknya mendapatkan kediaman yang lebih selamat dan selesa untuk didiami. – MalaysiaGazette
















