KUALA LUMPUR – Universiti Malaysia Terengganu (UMT) menyambut baik dan menyokong pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berhubung cadangan pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) serta penggubalannya semula melalui kerangka perundangan pendidikan tinggi yang lebih sesuai dengan keperluan dan aspirasi pendidikan tinggi semasa.
Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa) yang menjalankan fungsi Naib Canselor, Prof. Dr. Suriyani Muhamad berkata, langkah ini merupakan peluang penting untuk memperkukuh reformasi tadbir urus pendidikan tinggi negara, khususnya dalam meningkatkan autonomi institusi, memperjelas akauntabiliti universiti awam serta membangunkan ekosistem akademik yang lebih terbuka, dinamik, inovatif dan berdaya tahan.
Menurutnya, pembaharuan kerangka perundangan ini juga selari dengan aspirasi Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (2026–2035) yang menekankan transformasi, kecemerlangan, daya tahan serta pengukuhan ekosistem pendidikan tinggi negara.
Sehubungan itu, UMT melihat pembaharuan perundangan universiti sebagai sebahagian daripada usaha yang lebih menyeluruh untuk memastikan institusi pendidikan tinggi terus relevan, berdaya saing dan responsif terhadap perubahan serta tuntutan masa hadapan.
Pada masa yang sama, UMT berharap kerangka perundangan baharu yang bakal diperkenalkan dapat memberikan jaminan yang lebih jelas
terhadap kebebasan akademik serta ruang yang wajar kepada mahasiswa dan warga universiti untuk berfikir, bersuara, berkarya, menjalankan penyelidikan dan terlibat dalam wacana intelektual serta pembangunan masyarakat dan negara.
“UMT berpandangan kebebasan tersebut perlu dilaksanakan secara bertanggungjawab dan seiring dengan prinsip integriti, etika, akauntabiliti serta tanggungjawab institusi. Justeru, kerangka baharu perlu mewujudkan keseimbangan yang jelas antara autonomi dan akauntabiliti, kebebasan dan tanggungjawab, serta inovasi dan tadbir urus yang baik,” katanya dalam satu kenyataan.
Reformasi tadbir urus pendidikan tinggi ini juga dilihat sejajar dengan agenda dan aspirasi Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (2026–2035) yang memberi penekanan terhadap transformasi, kecemerlangan, daya tahan dan pengukuhan ekosistem pendidikan tinggi negara.
UMT juga, kata beliau percaya universiti awam perlu terus menjadi ruang yang kondusif bagi perkembangan ilmu, pemikiran kritis, kreativiti dan inovasi, di samping membentuk generasi yang berani berfikir, matang dalam menyampaikan pandangan dan bertanggungjawab dalam melaksanakan peranan
mereka kepada masyarakat dan negara.
Tambahnya, UMT yakin reformasi perundangan pendidikan tinggi yang dilaksanakan secara inklusif, berteraskan kepentingan ilmu dan disokong oleh tadbir urus yang baik akan memperkukuh kedudukan universiti awam sebagai institusi ilmu yang berautonomi, berintegriti, berdaya saing dan relevan dengan keperluan negara. – MalaysiaGazette
















