SAC Ahmad Radzi Hussain

KOTA BHARU – Seorang anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) cedera selepas dilanggar sebuah kereta yang cuba melarikan diri daripada pemeriksaan pasukan serbuan Ops Taring Wawasan di Kampung Chat, Palekbang, Tumpat, malam tadi.

Komander Briged Tenggara PGA SAC Ahmad Radzi Hussain berkata kejadian berlaku pada 8.30 malam semasa pasukan Cawangan Risik bersama dengan Strike Force Kompeni C Batalion 7 PGA Kuantan dibantu Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat mengesan kereta Proton Preve dalam keadaan mencurigakan.

Beliau berkata anggota serbuan mengarahkan pemandu kenderaan itu berhenti namun lelaki berusia 34 tahun itu bertindak agresif dan cuba melarikan diri sehingga melanggar dua anggota serbuan menyebabkan seorang daripadanya cedera di kepala, tangan serta kaki.

“Suspek bagaimanapun berjaya ditahan dan pemeriksaan menemukan enam wanita Myanmar berusia 21 hingga 31 tahun yang gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri di dalam kenderaan itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahmad Radzi berkata pemeriksaan juga menemukan empat pil disyaki yaba, lapan telefon bimbit dan sebuah anak kunci selain ujian saringan awal air kencing suspek didapati positif amphetamine.

“Siasatan awal mendapati suspek menerima upah RM70 untuk membawa setiap migran ke Kota Bharu dengan enam wanita itu dipercayai memasuki Malaysia melalui pangkalan haram di Pulau Besar, Tumpat menerusi ejen Myanmar yang dikenali di Facebook Messenger dengan bayaran RM6,000 seorang,” katanya.

Kesemua suspek dan rampasan dibawa ke IPD Tumpat untuk siasatan mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007, Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 353 Kanun Keseksaan serta Seksyen 12(2) dan 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952. -BERNAMA

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here