KUALA LUMPUR – Presiden Parti Amanah Negara, Datuk Seri Mohamad Sabu harini melancarkan buku berjudul Mustadhafin vs Mustakbirin di ibu negara.
Karya yang turut ditulis bersama Ennie Zuhasniza Jamaludin ini membawa pembaca menyelusuri percaturan geopolitik dunia melalui pengalaman, pemerhatian dan pemikiran Mohamad.
Buku tersebut dilancarkan oleh Tan Sri Johan Jaaffar, Tokoh Wartawan Negara merangkap Pengarah Star Media Group Berhad.

Menurut Mohamad, buku ini mengangkat persoalan bagaimana dunia dibentuk bukan semata-mata kebetulan, tetapi oleh kuasa, kepentingan dan strategi yang sering tersembunyi di sebalik peristiwa-peristiwa besar.
“Bermula daripada kesan penjajahan, kebangkitan gerakan Islam dan perkembangan politik antarabangsa, hinggalah konflik Palestin serta perubahan keseimbangan kuasa dunia, buku ini mengajak pembaca melihat hubungan antara sejarah, ideologi, kuasa dan kepentingan antarabangsa dalam membentuk dunia hari ini.
“Buku ini bukan sekadar catatan sejarah atau himpunan peristiwa geopolitik.
“Sebaliknya, ia mengajak pembaca berfikir tentang persoalan yang lebih besar, siapakah yang menguasai dunia, bagaimana persepsi masyarakat dibentuk dan di manakah kedudukan golongan yang tertindas ketika berhadapan dengan kuasa-kuasa besar,” katanya selepas majlis pelancaran Buku Mustadhafin vs Mustakbirin di sini, hari ini.

Majlis tersebut turut dihadiri Pesuruhjaya Tinggi Singapura ke Malaysia, Vanu Gopala Menon; Duta Besar Persekutuan Rusia ke Malaysia, Naiyl M. Latypov; Duta Besar Republik Indonesia ke Malaysia, Raden Datuk Mohammad Iman Hascarya Kusumo; Duta Besar Republik Islam Iran ke Malaysia, Valiollah Mohammadi Nasrabadi; serta Kaunselor Perdagangan dan Ekonomi Kedutaan Republik Uzbekistan, Mutalibjon Khojimurotov.
Kehadiran wakil-wakil diplomatik ini bertepatan dengan tema utama buku yang banyak menyentuh perkembangan geopolitik dunia, hubungan antara negara serta percaturan kuasa antarabangsa.
Mustadhafin vs Mustakbirin dijual pada harga RM45 senaskhah dan akan diedarkan oleh Kumpulan Media Karangkraf bagi membolehkan buku ini sampai kepada khalayak pembaca yang lebih luas.
Buku ini juga akan diterbitkan dalam versi bahasa Inggeris, sekali gus membuka ruang agar pemikiran, pengalaman dan pandangan Mohamad Sabu mengenai geopolitik serta hubungan antarabangsa dapat dikongsi dengan pembaca di peringkat yang lebih luas. – MalaysiaGazette
















