Rafizi.

GEORGE TOWN – UMNO, Pas mahupun DAP dilihat masih terperangkap dalam naratif politik berasaskan kaum yang sama, biarpun menggunakan pendekatan berbeza untuk mengukuhkan sokongan masing-masing, kata Pengasas bersama Parti Bersama Malaysia (Bersama), Datuk Seri Rafizi Ramli.

Beliau berkata, UMNO dan Pas cenderung menggunakan sentimen Melayu, bumiputera dan Islam, manakala DAP pula membawa naratif bahawa pengundi bukan Melayu perlu menyokong parti itu sebagai benteng mempertahankan kepentingan mereka.

Katanya, pendekatan berkenaan akhirnya mewujudkan keadaan ‘kami lawan mereka’ yang hanya mengukuhkan lagi politik berasaskan kaum.

“Kalau kita secara berterusan berkempen macam itu, ia akan mengukuhkan lagi politik yang berasaskan perkauman kerana ia adalah ‘us versus them’.

“Apabila jadi ‘kita lawan mereka’ UMNO dan Pas akan menyambutnya dengan mengatakan, sebab itulah kamu (orang Melayu) perlu menyokong kami. Tengok, semua orang bukan Melayu telah bersatu menyokong DAP,” katanya ketika berucap pada Siri Jelajah Kancil bagi negeri Pulau Pinang, malam tadi.

Rafizi berkata, penawar kepada politik berasaskan kaum ialah meyakinkan masyarakat Melayu, Cina, India, Iban dan Kadazan bahawa kaum bukan ancaman antara satu sama lain.

“Apa yang kita perlukan ialah memastikan negara kita, masyarakat kita, walau macam mana pun pemimpin yang dipilih, mestilah kompeten dan mempunyai integriti, tidak kira sama ada dia Melayu, Cina atau India,” katanya.

Tambah Rafizi, pendekatan politik yang digunakan beberapa dekad lalu tidak lagi sesuai untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi Malaysia ketika ini.

Beliau berkata, parti politik perlu melihat keperluan generasi akan datang dan tidak hanya menggunakan pendekatan yang sama setiap kali berdepan masalah.

“Kita sudah sampai ke satu peringkat sebagai negara dan masyarakat bahawa masalah kita tidak boleh diselesaikan lagi dengan cara dan pemikiran tahun 70-an dan 80-an.

“Tanggungjawab politik ketika ini bukan sekadar memikirkan pilihan raya akan datang, sebaliknya memastikan masalah yang dihadapi negara tidak terus diwariskan kepada generasi akan datang,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here