GEORGE TOWN – DAP tidak mudah melepaskan kedudukannya dalam Kerajaan Perpaduan selepas ‘merasai’ kuasa melalui pelbagai jawatan yang disandang wakil parti, kata Pengasas bersama Parti Bersama Malaysia (Bersama), Datuk Seri Rafizi Ramli.
Katanya, DAP kini mempunyai wakil sebagai menteri, timbalan menteri, ketu menteri, Exco, wakil rakyat, ahli majlis dan pemegang pelbagai jawatan lain.
“Once you have tasted power, kalau di Pulau Pinang seseorang itu sudah menjadi ahli majlis, kamu fikir mudah untuk mereka lepaskan?
“Ni kan pula, DAP ada jawatan daripada menteri, timbalan menteri, ketua menteri, Exco, wakil rakyat, ahli majlis dan seterusnya sampai ketua kampung. Beribu-ribu orang.
“Keadaan itu menyebabkan tidak realistik untuk mengharapkan anggota DAP membuat keputusan meninggalkan kerajaan hanya atas alasan prinsip politik,” katanya ketika berucap pada Siri Jelajah Kancil bagi negeri Pulau Pinang, malam tadi.
Rafizi berkata, DAP juga dijangka terus kekal dalam kerajaan sehingga pilihan raya, sekali gus menolak tanggapan bahawa persidangan khas parti itu akan membawa kepada kejatuhan kerajaan.
Beliau berkata, perkara itu juga menjelaskan mengapa keputusan DAP untuk kekal dalam Kerajaan Perpaduan sehingga tamat tempoh Parlimen bukan sesuatu yang mengejutkan.
Sementara itu, Rafizi menolak dakwaan Parti Bersama sebagai ‘Trojan Horse’ atau ejen kepada Barisan Nasional (BN) dan Pas untuk melemahkan Pakatan Harapan (PH), khususnya DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Beliau berkata, BN dan Pas tidak memerlukan ejen untuk menewaskan PH kerana kelemahan pengurusan dan kegagalan menangani masalah sebenar rakyat sudah boleh menyebabkan parti politik sedia ada kehilangan sokongan.
“BN dan Pas tidak memerlukan ejen untuk mengalahkan PH. Mereka hanya memerlukan Anwar Ibrahim.
“Bagi Bersama pula, kita mahu menawarkan platform politik alternatif kepada rakyat dan bergerak secara bebas tanpa berpihak kepada mana-mana blok politik sedia ada,” katanya.
Tambah Rafizi, perjuangan Bersama bukan semata-mata untuk memenangi pilihan raya, sebaliknya memastikan isu yang memberi kesan kepada generasi masa depan terus dibincangkan. – MalaysiaGazette
















