ROMPIN – Keluarga tiga beranak yang maut dalam kebakaran di Desa Mawar 2, di Muadzam Shah menerima sokongan psikososial bagi membantu mereka menghadapi trauma dan kehilangan insan tersayang.
Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Pahang, Datuk Ir. Razali Kassim, berkata Pasukan Psychological First Aid (PFA) dari Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Rompin telah memberikan sokongan awal kepada kira-kira 10 waris mangsa.
Beliau berkata, pasukan berkenaan menjalankan sesi sokongan secara berkumpulan serta pendampingan individu bagi menilai keadaan emosi waris.
“Waris turut diberikan sokongan dan penenteraman, khususnya kepada individu yang menunjukkan tekanan emosi.
“Secara keseluruhannya, keadaan emosi waris adalah terkawal dan tiada keperluan intervensi kritikal dikenal pasti,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Menurutnya, waris turut diberikan penerangan mengenai keperluan mendapatkan rawatan dan sokongan susulan sekiranya keadaan emosi mereka tidak stabil.
Razali berkata, sumbangan daripada Kerajaan Negeri Pahang menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan disalurkan kepada waris hari ini bagi membantu meringankan beban keluarga berkenaan.
Menurutnya beliau menziarahi waris mangsa di Muadzam Shah, petang semalam bagi melihat perkembangan semasa waris selepas insiden menyayat hati menimpa keluarga mangsa.
Dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi itu, tiga beranak iaitu Mohd Kahurolaizam Mokhtar, 42, isterinya, Siti Zaleha Aluha, 31, dan anak bongsu mereka, Muhamad Putra Rayqal, empat tahun, maut selepas rumah mereka terbakar.
Polis Rompin mengesahkan mangsa Mohd Kahurolaizam melecur akibat kebakaran sebelum meninggal dunia di hadapan rumah, manakala isteri dan anaknya ditemukan rentung dalam sebuah bilik.
Dua lagi anak pasangan itu, masing-masing berusia 10 dan 16 tahun, terselamat.
Kebakaran turut merebak ke rumah jiran yang dihuni seorang lelaki berusia 35 tahun bersama isteri dan empat anaknya, namun kesemua mereka selamat.
Manakala. Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Nordin Pauzi, pula berkata siasatan awal mendapati kebakaran dipercayai bermula dari sebuah bilik di rumah mangsa.
Katanya, sistem pendawaian elektrik antara fokus siasatan, manakala sebuah motosikal dan kereta milik mangsa turut musnah dalam kebakaran.
Lebih menyayat hati, keluarga berkenaan difahamkan baru seminggu mendiami rumah tersebut sebelum tragedi berlaku.
Ketiga-tiga jenazah kemudian dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Muadzam Shah.
Buat sementara waktu, jiran mangsa berlindung di sebuah rumah inap desa berhampiran manakala dua anak mangsa dijaga oleh ahli keluarga terdekat. – MalaysiaGazette
















