ROMPIN – “Saya sempat melihat arwah ibu dan adik yang terperangkap dalam bilik. Arwah ibu tarik selimut dan memeluk adik di penjuru bilik,” kata Putra Aliff Haiqal Mohd Kahurolaizam.
Remaja berusia 16 tahun itu bersama adiknya, Mohamad Putra Haikal, 10, sempat menyelamatkan diri selepas rumah mereka hangus terbakar di Desa Mawar 2, dekat Muadzam Shah, di sini, awal pagi tadi.
Namun, tragedi yang berlaku sekitar jam 4 pagi itu menyebabkan ibu dan bapanya, Mohd Kahurolaizam Mokhtar, 42 dan ibu, Siti Zaleha Aluha, 31 serta adik bongsunya Muhamad Putra Raykal, 4, meninggal dunia.

Menceritakan detik sebelum kejadian, Putra Aliff Haikal memberitahu, dia dikejutkan oleh suara ayahnya yang menyuruh dia menyelamatkan adiknya berikutan api mula marak dalam rumah yang baru seminggu didiami mereka.
“Ayah kejutkan saya dan suruh saya bawa adik keluar. Ketika itu adik (Mohamad Putra Haikal) ada di sebelah saya. Saya cuma sempat bergerak selangkah sebelum adik bangun dan kami berdua segera keluar dari rumah.
“Ketika keluar tu, saya sempat tengok ibu dengan seorang lagi adik dalam bilik di penjuru bilik ibu tarik selimut, cuba lindungi adik. Selepas itu saya tak nampak dah apa yang berlaku dalam rumah,” katanya tenang.
Dia turut memaklumkan arwah ayah sempat menendang dinding rumah sebelum keluar dan berguling di halaman rumah selepas badannya terbakar.
Ketika itu, katanya dia bergegas mengejutkan jiran mereka untuk meminta pertolongan menyelamatkan ibu dan adik yang masih terperangkap dalam api marak itu.
Sementara itu, jiran keluarga malang itu, Mohd Zakri Ahmad Kamal, 57, memberitahu, dia menyedari kejadian berkenaan selepas mendengar suara jeritan dari luar rumah sebelum menghubungi pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
“Saya dengar orang minta tolong, cuma ingat ada pergaduhan. Tapi bila dengar betul-betul macam suara minta tolong dan bunyi letupan macam kebakaran. Saya buka pintu dan nampak api marak dari rumah terbabit.
“Ketika itu memang saya tak dapat nak tolong, cuma sempat minta isteri beri air kepada arwah. Dia minta air sebab panas sangat. Tapi saya sekeluarga tak mampu nak buat apa sebab api marak terlalu cepat.
“Jadi kami tiga sekeluarga cuma mampu tunggu pihak bomba sampai dan Alhamdulillah, jentera pertama sampai kurang 10 minit sebaik saya buat laporan,” jelasnya.

Dia mengakui terkilan kerana gagal membantu keluarga berkenaan yang baru berpindah ke rumah itu yang terletak kira-kira 50 meter dari rumahnya.
Walaupun jarang berbual, Mohd Zakri berkata, Mohd Kahurolaizam adalah seorang yang mesra dengan penduduk di situ.
Dalam pada itu, Ahmad Fauzi Ismail, 35, yang menyewa rumah di sebelah kediaman keluarga malang itu memaklumkan dia berada di tempat kerja semasa kebakaran itu berlaku.
“Saya kerja kedai makan, jadi dalam jam 2 pagi dah keluar rumah. Masa di tempat kerja isteri telefon dan cakap rumah sebelah terbakar.
“Jadi, saya terus balik dan tengok rumah kami pun ada juga terlibat iaitu bahagian belakang rumah yang terbakar dalam 50 peratus.
“Mungkin sebab bahang kerana jarak antara rumah kami cuma 20 meter,” katanya.
Dia bagaimanapun bersyukur isteri dan anaknya terselamat dalam kejadian berkenaan. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN
















