KUALA LUMPUR – Tindakan membawa sayur ke pasar menggunakan sebuah kenderaan mewah membawa padah apabila seorang lelaki warga Bangladesh ditahan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Langkawi dalam Ops Luxury di sekitar Jalan Padang Matsirat, semalam.
JPJ Kedah dalam satu kenyataan berkata, pemeriksaan mendapati pemandu berkenaan tidak memiliki lesen memandu yang sah, manakala Lesen Kenderaan Motor (LKM) kenderaan telah tamat tempoh dan tiada perlindungan insurans yang masih berkuat kuasa.
Susulan itu, menurutnya, kenderaan terbabit disita untuk tindakan lanjut mengikut peruntukan undang-undang.
“Kes ini menjadi peringatan bahawa mewah bukan bermakna kebal undang-undang, setiap kenderaan dan pemandu wajib mematuhi peraturan yang ditetapkan,” katanya menerusi Facebook hari ini. – MalaysiaGazette
















