JOHOR BAHRU – Tindakan seorang pekerja kilang memandu kereta secara gopoh dengan menyongsang arus tahun lalu membawa padah apabila dia didenda RM1,700.
Majistret Nur Fatin Mohamad Farid menjatuhi hukuman denda itu selepas tertuduh, S Thaanesh, 27, mengaku bersalah selepas ditawarkan pertuduhan pilihan itu di Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Thaanesh yang merupakan peniaga kedai makan sebelum ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, pada 21 Mei 2025 atas pertuduhan utama iaitu memandu di atas jalan raya secara melulu dengan cara menyongsang arus di Kilometer 4 Jalan Gelang Patah – Ulu Choh di sini, kira-kira pukul 9 pagi, 9 Mei 2025.
Pertuduhan sebelum ini dibuat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Pindaan 2020) dan hari ini, prosiding perbicaraan hari pertama sepatutnya berlangsung, namun selepas representasi dikemukakan, pihak pendakwaan menawarkan pertuduhan pilihan kepadanya.
Berdasarkan pertuduhan pilihan, lelaki itu sebagai pemandu kereta didakwa memandu kereta di atas jalan raya secara gopoh dengan cara menyongsang arus sehingga mungkin menyebabkan cedera atau bencana kepada seseorang lain.
Bagi perbuatan itu, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 279 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara boleh sampai enam bulan atau dengan denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Sebelum hukuman dijatuhkan, tertuduh yang diwakili peguam S Selvanteran memohon hukuman ringan memandangkan isterinya baharu sahaja melahirkan anak.
Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Muhaizam Rostam Affendi.
Tahun lalu, tular video pemandu Perodua Axia berwarna jingga yang memandu secara melawan arus dalam kesesakan jalan raya sehingga kenderaan itu ‘dihimpit’ dua treler.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M Kumarasan dilaporkan berkata, hasil siasatan mendapati lelaki itu memandu secara melawan arus sejauh 500 meter kerana tersalah masuk lorong untuk ke stesen minyak berhampiran.
Menerusi dua video tular dalam media sosial berdurasi enam saat dan 18 saat itu, memaparkan pemandu kereta terbabit ‘menyelit’ di laluan motosikal iaitu di tengah antara kereta yang berhenti akibat kesesakan lalu lintas. – MalaysiaGazette
















