Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hadir ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi perbicaraan atas pertuduhan menyalahgunakan kedudukan melibatkan suapan berjumlah RM225.3 juta dan menerima wang RM200 juta hasil aktiviti haram, ketika Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 17 OGOS 2026. (GAMBAR FAIL)

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu, KCJ Engineering Sdn. Bhd. pernah gagal di peringkat penilaian teknikal sebelum dilantik sebagai kontraktor bagi melaksanakan salah sebuah projek di Negeri Sembilan di bawah Program Janawibawa.

Setiausaha Bahagian Perolehan, Kementerian Kewangan, Datin Rosni Mohd. Yusoff, 54, berkata, syarikat itu melepasi dua penilaian, namun `sangkut’ di peringkat ketiga kerana mempunyai projek `sakit’ dan prestasi kerja semasa yang tidak memuaskan.

Rosni yang ketika itu berjawatan Setiausaha Bahagian Syarikat Pelaburan Kerajaan berkata, perkara tersebut diputuskan pada Mesyuarat Jawatankuasa Penilaian Kontraktor Program Janawibawa yang bersidang pada 15 Disember 2020.

Beliau yang juga pengerusi jawatan kuasa tersebut berkata, penilaian terhadap KCJ Engineering dibuat susulan cadangan pelantikan syarikat itu oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin yang ketika itu Perdana Menteri.

Pada 13 April lalu, pegawai bank, Chang Hui Chin berkata, KCJ Engineering menyalurkan RM800,000 kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menerusi empat cek masing-masing sebanyak RM200,000 pada 1 September 2022.

Pada 6 Julai lalu, bekas Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz memberitahu, KCJ Engineering telah disenaraikan di nombor 31 dalam senarai cadangan 54 kontraktor untuk pembinaan Projek Membina Jalan Baharu Menyambung Felda Bukit Jalor ke Gemas.

Syarikat pembinaan itu perlu melalui tiga peringkat metadologi penilaian iaitu peringkat pertama (syarat mandatori), peringkat kedua (keupayaan kewangan) dan peringkat ketiga (keupayaan teknikal).

Menurut saksi pendakwaan ke-25 itu, ekoran kegagalan dalam penilaian peringkat ketiga, pihak jawatankuasa memaklumkannya kepada Kementerian Kewangan, namun tidak mengedarkan maklumat itu kepada mana-mana pihak.

Bagaimanapun, menurut beliau, Kementerian Kewangan menerima surat daripada Pejabat Perdana Menteri (PMO) supaya penilaian semula dilakukan terhadap KCJ Engineering.

Ujar Rosni, keputusan mesyuarat yang bersidang pada 26 Februari 2021 kemudian mendapati KCJ Engineering lulus semua kriteria yang dikehendaki dalam ketiga-tiga penilaian.

“Kami menyediakan memorandum kelulusan untuk mengesyorkan syarikat itu sebagai kontraktor projek berkenaan menerusi rundingan terus,” ujarnya.

Menjawab soalan tambahan Timbalan Pendakwa Raya Noralis Mat, Rosni berkata, jika Bahagian Perolehan tidak mendapat arahan dari Kementerian Kewangan (menerusi memo dari PMO), pihaknya tidak akan melakukan apa-apa tindakan.

“Jika syarikat gagal, kami akan berhenti terus di situ,” ujarnya ketika memberi keterangan pada perbicaraan kes Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menghadapi tujuh pertuduhan berkaitan Program Janawibawa.

Perbicaraan di hadapan Hakim Noor Ruwena Md. Nurdin bersambung esok.

Muhyiddin, 79, yang ketika itu memegang jawatan Perdana Menteri dan Presiden Bersatu berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk suapan berjumlah RM225.3 juta.

Ia berkaitan Projek Jana Wibawa melibatkan empat syarikat iaitu Bukhary Equity Sdn Bhd, Nepturis Sdn Bhd, Mamfor Sdn Bhd dan KCJ Engineering serta Datuk Azman Yusoff bagi parti politik berkenaan.

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra di Putrajaya antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021.

Muhyiddin didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Ahli Parlimen Pagoh itu turut berdepan tiga pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM200 juta daripada Bukhary Equity Sdn Bhd yang dimasukkan ke akaun Ambank dan CIMB Bank milik Bersatu di cawangan bank berkenaan di Petaling Jaya dan Kuala Lumpur antara Februari 2021 dan Julai 2022.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(b) dibaca bersama Seksyen 87(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 15 tahun dan denda lima kali nilai hasil daripada aktiviti haram atau RM5 juta, mengikut mana lebih tinggi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here