JOHOR BAHRU – Tahap kesedaran rakyat Malaysia mengenai pematuhan pengosongan tangki septik secara berjadual masih rendah iaitu 15 peratus.
Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Datuk Ahmad Faizal Abdul Rahman berkata, perkembangan itu memaksa SPAN dan Indah Water Konsortium Sdn Bhd (IWK) mengambil tindakan penguatkuasaan bagi meningkatkan tahap pematuhan.
Susulan itu, kata beliau, pihak SPAN melakukan Ops Tebrau selama tiga hari di daerah ini bermula semalam hingga esok.
“Ini bertujuan memeriksa 441 premis merangkumi 361 premis komersial dan 80 premis domestik yang dikenal pasti culas mematuhi notis dikeluarkan.
“Meskipun pelbagai usaha penerangan dan lima siri edaran notis telah dilaksanakan sejak 2021, tahap kesedaran awam di Johor amat rendah apabila hanya 8.6 peratus pemilik tangki septik individu yang tampil memberi persetujuan untuk tindakan pengosongan.
“Tangki septik yang tidak diselenggara dengan baik boleh mengakibatkan limpahan air kumbahan ke longkang dan parit, sekali gus menjejaskan kebersihan alam sekitar, kesihatan awam serta kesejahteraan komuniti setempat,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Ops Tebrau (Pematuhan Pengosongan Tangki Septik Secara Berjadual) di Jalan Syahbandar 2, Taman Ungku Tun Aminah di sini hari ini.
Turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif Indah Water Konsortium, M. Navendran.
Ahmad Faizal berkata, tahap pematuhan pengosongan tangki septik secara berjadual di seluruh negara juga masih rendah pada kadar 15 peratus sahaja.
Menurutnya, kegagalan menyelenggara sistem pembetungan persendirian merupakan kesalahan di bawah Seksyen 65(1)(c) Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 [Akta 655] yang membawa hukuman denda sehingga RM50,000.
Selain itu Seksyen 66(1)(a) akta sama memperuntukkan denda sehingga RM50,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali ke atas mana-mana pemilik yang membiarkan sistem pembetungan kotor hingga menimbulkan kacau ganggu atau bahaya kesihatan
“Mengikut Peraturan-Peraturan Industri Perkhidmatan Air (Perkhidmatan Nyahenap Cemar) (Pindaan) 2023, pengosongan wajib dilaksanakan sekali setiap dua tahun bagi premis di dalam kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan tiga tahun sekali bagi luar kawasan PBT.
“Setakat ini, kita belum mengambil tindakan undang-undang lagi terhadap individu yang gagal mematuhi tindakan itu, hanya mengeluarkan notis bagi meningkatkan tahap kesedaran,” ujarnya.- MalaysiaGazette
















